Bekas Pemimpin PPBM Dedah Niat Jahat Mahathir

20/04/2017 – Susulan mengumumkan keluar parti semalam, bekas Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Kamarulazman Habibur Rahman mendedahkan bahawa pimpinan parti itu terlalu pentingkan jawatan perdana menteri dan sanggup buat apa sahaja untuk menggulingkan kerajaan.

“Saya bimbang melihat bagaimana jawatan perdana menteri itu sangat penting bagi sesetengah pihak sedangkan saya lebih berminat membela nasib rakyat.

“Saya juga mula bimbang dengan tindak tanduk segelintir dalam kalangan ahli yang sanggup melakukan apa saja demi menjatuhkan kerajaan yang sedia ada dengan fakta yang tidak sahih dan bersandarkan fitnah yang tidak logik akal.

“Ini amat membimbangkan kerana apabila kerajaan itu lemah, ia melibatkan juga kekuatan ekonomi negara. Kita tidak boleh sama sekali sabotaj negara kerana ia melibatkan kehidupan jutaan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Kamarulazman merupakan salah seorang daripada 7 pengasas PPBM, dan antara terawal memimpin Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM), iaitu kumpulan penentang presiden dalam UMNO.

Tambah beliau lagi, PPBM sudah menyimpang dari perjuangan asal kerana misi utama parti kini hanya untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan mendapatkan kedudukan untuk rakan-rakan.

Malah Kamarulazman juga berkata, beliau tidak percaya ahli PPBM akan dipilih sebagai perdana menteri walaupun pembangkang menang pilihan raya umum akan datang.

“Adakah seorang pemimpin daripada parti yang baru menjadi sahabat Pakatan Harapan dan memenangi kerusi yang sedikit akan diangkat untuk menjadi perdana menteri?

“Mustahil,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mendakwa rakan-rakan Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir sibuk mengukuhkan kedudukan masing-masing dalam parti, sementara Setiausaha Agung Shahruddin Md Salleh juga mempunyai agenda tersendiri.

Kamarulazman berkata, satu perkara yang menyatukan mereka adalah mereka lebih memikirkan rakan-rakan daripada parti dan kepentingan masyarakat.

Oleh itu, beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan parti yang dibentuknya bersama pengasas lain, selepas memikirkannya sejak beberapa bulan lepas.

“Saya mahu fokus mendidik masyarakat, terutamanya keadaan politik negara. Saya mahu melihat hala tuju negara dibincangkan, untuk memastukan kesejahteraan rakyat.

“Saya tidak menyertai politik untuk kepentingan peribadi atau mendapatkan kekayaan dan kedudukan. Sebagai seorang guru, saya memperjuangkan kehidupan rakyat dan masa depan negara,” katanya.

Dengan pengumuman itu, Kamarulazman melepaskan jawatan setiausaha kerja PPBM pusat, ahli majlis tertinggi PPBM pusat dan ketua PPBM bahagian Telok Kemang, dan menolak tawaran jawatan pengerusi perhubungan PPBM Negeri Sembilan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *