Bekas Penagih Dadah Ditahan Polis Selepas Cuba Untuk Bunuh Isteri Dan Ibu Bapa Mertua

MIRI – Seorang lelaki berusia 40 tahun yang mengancam hendak membunuh isteri dan ibu bapa mentuanya ditahan polis di Kampung Tunku Abdul Rahman, Batu 10 Lambir, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Khoo Leng Huat berkata, selain melakukan ugutan jenayah, suspek yang bekerja sendiri itu turut mencekik leher isterinya yang berumur 37 tahun dalam kejadian 10 malam, Ahad lepas.

“Suami mangsa membawa parang dan mengancam mahu membunuh mangsa serta ibu bapa mangsa yang tinggal di Tudan dan bimbang dengan ugutan itu, mangsa bersama anak-anaknya melarikan diri dari rumah tempat mereka tinggal bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khoo berkata, menurut isteri mangsa, suspek yang pernah menjalani rawatan pemulihan penagihan dadah di Kuching adalah seorang yang panas baran dan sering bertindak ganas apabila marah.

“Tidak tahan dengan sikap suspek, mangsa tidak berani balik ke rumah dan terus membuat laporan polis,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. – fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *