Betul Ke Mak Mertua Sekarang Hanya Fikirkan Harta, Nak Menantu Kerja Hebat Saja?

19/04/2017 – Kehidupan sekarang sesetengah manusia memang bersikap materialistik, semua mahukan duit. Orang dewasa, remaja bahkan kanak-kanak kecil sekalipun cukup kenal dengan sekeping kertas yang diberi nama ‘duit’.

Memang duit penting dalam kehidupan, tanpa alat tukar ini kita tidak boleh memenuhi keperluan hidup. Tetapi, tanpa sedar duit membuatkan manusia menjadi rakus. Malah, duit juga boleh membuatkan diri kita akan disanjung dan disayangi.

Apabila kita tidak mempunyai duit segala kasih sayang itu akan hilang, malah akan dihina. Wanita ini berkongsi kisahnya yang disayangi ibu mertuanya ketika dia bekerjaya dan mempunyai gaji yang banyak.

Tetapi, kasih sayang ibu mertua itu mula pudar apabila dia sudah tidak bekerja dan mengambil keputusan menjadi suri rumah tangga sepenuh masa untuk menjaga anaknya. Sedarlah duit itu bukanlah segala-galanya, duit itu sekadar ukuran di dunia.

“Pengalaman hidup, jadi orang berduit dan tidak berduit pada mata mertua. Izinkan aku kenalkan diri aku sebagai Wani. Tamat saja belajar lebih kurang 9 tahun lepas, aku ditawarkan kerja di sebuah syarikat multinasional sebagai seorang software engineer. Makan gaji di syarikat swasta. Gaji tak ada lah banyak mana pada awal kerja itu, tapi cukup untuk semua. Masuk 3 tahun pertama kerja, aku mula ‘lompat company’. Lepas satu syarikat, ke satu syarikat, yang akhirnya menawarkan gaji hampir 5 angka.”

“Masa ini semua nampak indah. Maklumlah berduit banyak, dan masuk tahun ke 8 aku kerja. Aku menamatkan zaman bujang aku. Kira agak lewat juga lah bagi seorang perempuan menamatkan zaman bujang. Tapi aku tak kisah semua itu, jodoh pertemuan semua kan di tangan Allah. Suami aku orang kampung, kerja sebagai juruteknik. Kerja biasa-biasa, tidak lah segah kerja aku. Tapi sungguh, aku tidak kisah semua itu.”

“Awal perkahwinan, walaupun isterinya ini bergaji 5 angka. Tapi tiap bulan, nafkah belanja bulan-bulan tetap masuk. Tidak pernah miss dan aku pun tidak pernah berkira berbelanja itu ini untuk kelengkapan rumah. Duit rumah dan minyak kereta. Semua aku tidak pernah berkira dan membantu perbelanjaan suami.”

“Balik kampung suami, aku dilayan sebaik mungkin oleh mertua. Alhamdulillah, tak cakap pun nak makan itu ini, semua makanan sedap-sedap tersedia. Selepas setahun mendirikan rumahtangga, kami dikurniakan cahaya mata, anak perempuan. Sakeenah namanya. Kami hantar Sakeenah ke rumah pengasuh.”

“Masuk umur anak 6 bulan, Sakeenah mula menunjukkan tanda-tanda dia tak sihat. Paru-parunya terkena jangkitan kuman. 3 hari juga Sakeenah dimasukkan ke hospital. Sebulan lepas tu Sakeenah sekali lagi ‘diserang’. Kali ni lagi teruk ditambah gejala sesak nafas pada awalnya. Dia disahkan mengidap pneumonia pada usia 7 bulan. Hati ibu mana la yang nak tengok anak dia sakit.”

“Tambah lagi waktu anak aku sakit ini, kami di pejabat sedang mengusahakan satu projek penting. Aku pula sampai terpaksa ambil cuti tanpa gaji untuk menjaga Sakeenah. Sebulan lepas itu, Sakeenah dimasukkan ke hospital lagi. Kes yang sama, doktor bagitau Sakeenah mungkin sensitif terhadap persekitaran, alah kepada orang yang batuk atau selsema. Baru aku teringat di rumah pengasuh itu, Iqbal yang berusia 2 tahun itu selalu selsema.”

“Mungkin juga Sakeenah dijangkiti. 5 bulan berturut-turut Sakeenah dimasukkan ke hospital. Waktu ni, aku tak fikir panjang. Terus menyuarakan hasrat hati untuk berhenti kerja dan suami mengizinkan. Mak ayah aku pun turut bagi sokongan.”

“Sekarang sudah hampir setahun aku jadi fulltime mommy. Suami bantu sedaya yang boleh dari segi perbelanjaan. Aku juga ada menjalankan perniagaan online tapi pendapatan tak sebanyak mana. Duit saving masih ada dan kami pun tidak berhutang. Kira cukup untuk kami sekeluarga. Aku pun tidak kisah tidak semewah dulu asalkan aku dapat jaga sendiri Sakeenah yang aku sayang.”

“Bukanlah kisah Sakeenah yang aku mahu ‘highlightkan’. Cuma, bila tidak bekerja makan gaji ini. Hidup jadi tidak semewah dulu layanan orang-orang pun dah lain terhadap aku. Balik kampung mertua, tiada lagi hidangan-hidangan istimewa. Kadang terpaksa sediakan sendiri apa yang nak dimakan. Mungkin dia malu agaknya menantu dia ini tak berkerja. Menantu perempuan dia yang lain semua kerja. Semua ada jawatan, semua dapat beri dia kemewahan.”

“Selalu mertua sebut-sebut pada aku, set pinggan ini menantu A dia yang belikan. Mesin basuh baru ini, menantu B dia belikan. Coway ini, menantu C dia belikan. Dulu, waktu aku kerja, tak ada pula dia nak sebut pemberian menantu-menantu perempuan dia yang lain itu pada aku tapi aku diamkan saja. Aku faham, dia orang kampung tak belajar tinggi. Bukan nak merendah-rendahkan mertua. Tapi ada sesetengah orang, dia cuma fikirkan harta. Fikirkan duit. Orang beri, dia sayang. Orang tak beri dia tak layan.”

“Maaflah kalau aku cakap ada sesiapa yang terasa. Tapi sungguh, awal-awal itu terasa hati juga dengan mertua. Tapi aku cuba pujuk diri, pujuk hati. Ada lah itu Allah nak balas lain.” – MissA/UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *