BN diingatkan jangan terleka dengan krisis PAS-PKR

4/4/2017– ADUN Permatang, Sulaiman Abdul Razak menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) tidak akan mengambil remeh sebaliknya akan terus menguatkan jentera parti jika PAS membuat keputusan untuk keluar dari Selangor.

Justeru, beliau mengingatkan setiap parti dalam BN perlu bekerja keras seperti mana di dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak, dalam usaha mendapatkan kembali Selangor.

Sulaiman berkata jika PAS berdiri dengan diri sendiri, mungkin ada sedikit kelebihan kepada BN tetapi ini tidak dijamin menang.

“Kita BN akan berdiri teguh dan bina kekuatan kita dan keyakinan kita dan tidak berharap terhadap kepincangan orang lain,” tegasnya.

Sulaiman berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada BN mampu merampas kembali Selangor jika PAS menarik diri daripada kerajaan negeri.

Sebelum ini hangat diperkatakan apabila wujud desakan sesetengah pihak agar parti Islam itu berpisah daripada kerajaan negeri ekoran ketegangan hubungan parti itu dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

PAS pada ketika ini mengekalkan hubungan politik dengan PKR, walaupun selepas Pakatan Rakyat terkubur, dan bertegas tidak akan bekerjasama dengan DAP dan Amanah, sekutu PKR dalam PH.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata walaupun tanpa PAS, dua parti komponen PH iaitu DAP dan PKR tidak akan terlepas daripada saingan ekoran kemunculan parti baru.

“Parti-parti baru yang ditubuhkan oleh Datuk Ezam Mohd Nor akan meminta kerusi juga.

“PKR tidak akan lepaskan kerusi-kerusi yang mereka dah pegang sekarang, serta DAP akan kekal mendominasi dan tidak akan beri peluang kepada parti-parti lain yang mana ini akan memberikan satu saingan,” katanya.

Oleh demikian, Sulaiman mengingatkan rakyat perlu bijak menilai parti-parti politik yang akan memberikan kelebihan kepada mereka kelak.

“Rakyat akan melihat parti mana akan memberikan jaminan dan keupayaan kepada mereka”, ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *