BN Penuhi Impian Penduduk Kg Baru Sungai Chawang

TELUK INTAN – Penantian 16 keluarga di Kampung Baru Sungai Chawang bagi mendapatkan bekalan elektrik akhirnya termakbul selepas Tenaga Nasional Berhad (TNB) membekalkan keperluan asas itu bermula 15 April lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, penantian penduduk berkenaan sejak 1980 untuk mendapatkan bekalan elektrik akhirnya dapat dipenuhi kerajaan BN.

“Alhamdulillah sempena program permukiman di Hilir Perak kali ini, kita dapat memenuhi impian penduduk di Kampung Baru Sungai Chawang menikmati keselesaan sama seperti rakyat lain.

“Hampir 40 tahun menantikan bekalan elektrik disalurkan ke rumah mereka, akhirnya dengan kerjasama wakil rakyat, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) serta TNB ia dapat dipenuhi,” katanya selepas melawat kampung tersebut, semalam.

Turut hadir, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Teluk Intan, Datuk Seri Dr Mah Siew Keong bersama Exco Kerajaan Negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Zambry berkata, kerajaan membelanjakan hampir RM1 juta bagi projek pemasangan bekalan elektrik di Kampung Baru Sungai Chawang melibatkan 16 kediaman.

“Ini menunjukkan komitmen kerajaan bagi memastikan tiada rakyat terpinggir terutama melibatkan keperluan asas seperti air dan elektrik.

“Semoga dengan adanya bekalan elektrik ini akan membantu penduduk di sini hidup lebih selesa tanpa perlu bergelap dan menggunakan generator pada waktu malam,” katanya.

Sementara itu, Zainol Fadzi berkata, penyaluran bekalan elektrik kepada penduduk Kampung Baru Sungai Chawang merupakan usaha berterusan kerajaan negeri dalam membantu masyarakat luar bandar.

“Kita sendiri lihat bagaimana kesusahan penduduk di kampung ini yang tinggal di tengah-tengah ladang kelapa sawit dan memakan masa hampir satu jam untuk masuk dari jalan utama.

“Kes ini merupakan kes terpencil dan ia menjadi perhatian kerajaan negeri sejak awal lagi untuk membantu mereka dan segala usaha berterusan dilakukan Adun dan ahli parlimen mereka sehingga berjaya,” katanya.

Beliau berkata, KKLW, TNB, kerajaan negeri, ahli parlimen serta Adun bertungkus-lumus membantu penduduk Kampung Baru Sungai Chawang walaupun ia memakan masa bertahun.

“Alhamdulillah diharapkan penduduk kampung dapat menggunakannya dengan jimat cermat,” katanya. – sh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *