Britain dijangkan rugi besar selepas keluar dari EU

BEIJING – Britain berdepan de­ngan ‘kehilangan’ lebih daripada Kesatuan Eropah (EU) dengan keputusan meninggalkan blok itu, kata diplomat tertinggi EU semalam.

Perdana Menteri Britain, Theresa May secara rasmi memulakan pengunduran Britain daripada EU bulan lepas dan mengisytiharkan tidak akan berpatah balik. Proses keluar itu akan menguji perpaduan blok berkenaan dan mendedahkan negaranya kepada status yang tidak diketahui.

Britain kini mempunyai masa dua tahun untuk berunding syarat-syarat untuk berpisah sebelum berkuat kuasa penghujung Mac 2019.

Ketua Dasar Luar EU, Federica Mogherini semasa melakukan kunjungan ke Beijing berkata, rundingan dengan Britain akan menjadi lebih sukar.

“Mereka perlu menarik diri daripada sebuah komuniti. Kami akan kehilangan sebuah negara anggota penting.

“Mari saya beritahu kamu bahawa pada saya semua negara anggota adalah penting, sama rata kerana setiap anggota akan menyumbang lebih untuk beberapa polisi berbanding yang lain. Namun, Britain akan kehilangan lebih daripada apa yang kita hilang,” katanya kepada pelajar di Universiti Tsinghua.

Rundingan Brexit akan bermula seperti yang dirancang pada Jun ini selepas rakyat Britain mengundi dalam satu pilihan raya umum mengejut, kata EU kelmarin.

Parlimen Britain telah meluluskan usul May untuk mengadakan pilihan raya umum pada 8 Jun depan.

China bimbang proses Brexit akan mewujudkan ketidakstabilan dalam blok yang merupakan rakan dagangan paling besar China.

“EU akan terus menjadi pasaran pertama dunia, ekonomi kedua terbesar di dunia walaupun selepas United Kingdom keluar,” kata Mogherini. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *