Bukan Islam Ketawakan Parti Mat Sabu Kerana Tolak RUU355

19/04/2017 – Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS, N.Balasubramaniam menyifatkan pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) yang beragama Islam sewajarnya menghormati pindaan Akta 355 yang dibawa oleh PAS.

Ini kerana kata N.Balasubramaniam, selaku bekas pemimpin parti Islam itu, mereka sepatutnya lebih arif mengenai dasar PAS untuk meminda akta itu demi kepentingan umat Islam.

“Saya rasa kecewa sebab perkara ini yang dibentangkan adalah untuk orang Islam sahaja dan awal-awal dah diberitahu ia tiada kaitan dengan bukan Islam.

“Sepatutnya bila dibentangkan mereka perlu hormat sebab mereka ini wakil rakyat.

“Saya rasa malu dengan perbuatan (pemimpin) PAN, mereka adalah dari PAS dan dasar PAS mereka dah tahu,” kata Balasubramaniam dalam posting beliau di laman rasmi parti Islam itu.

Sehubungan itu, beliau juga mempersoalkan apakah pemimpin PAN sendiri tidak boleh menerima Islam.

“Orang bukan Islam pun boleh tahu dan faham tentang Islam serta mengapa nak bawa RUU355. Jadi apa salahnya orang Islam nak sokong? Perbuatan itu (membantah) amat mengecewakan.

“Kalau macam ini mereka tidak boleh terima Islam atau bagaimana?,” soal Balasubramaniam.

Sebelum ini, PAN yang di bawah pimpinan Mohamad Sabu mempersoalkan bagaimana rang undang-undang persendirian yang dibawakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu boleh menyelesaikan masalah dihadapi rakyat dan negara ketika ini.

Ini dapat dilihat apabila Pengarah strateginya, Dr Dzulkefly Ahmad umpamanya berkata, RUU itu ibarat ‘doktor salah merawat pesakit’.

“Gambaran tersebut persis umpama seorang doktor salah membuat diagnosis, lantas salah memberi ubat atau lebih tepat lagi doktor yang tidak perlu membuat apa-apa diagnosis kerana kononnya sudah mahir dengan penyakit pesakit.

“Tidak penting tahu punca penyakit. Kalau ditanya bagaimana ‘preskripsi’ RUU 355 mampu merawat.

“Saya hampir pasti jawapannya ialah soalan itu tidak penting. Sembuh atau tidak bukan kerja manusia, yang penting ubat mesti diberikan mengikut ‘mantra turun-temurun’ yakni pelaksanaan hukum,” kata Dzulkefly.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *