Cabaran PPBM Kian Layu Kerana Perebutan Kuasa Pemimpin Atasan

21/04/2017 – Walaupun selama ini Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sering mendabik dada mengatakan parti yang di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad itu merupakan parti yang kukuh, namun kini parti itu dilihat semakin goyah.

Lebih-lebih lagi apabila seorang pemimpin PPBM, iaitu Kamarul Azman Habibur Rahman sudah mengumumkan berundur daripada parti itu baru-baru ini.

Sebagai seorang daripada mereka yang bertanggungjawab mengasaskan PPBM, sudah tentulah beliau mempunyai sedikit sebanyak pengaruh dalam parti hingga beliau berani membuat kenyataan seramai 821 ahli parti itu di seluruh negara telah mengumumkan keluar parti.

Kamarul Azman bertindak sedemikian kerana mendakwa PPBM tiada hala tuju yang jelas untuk membelas rakyat. Oleh sebab itu, beliau yang juga Ahli Majlis Pemimpin Tertinggi BERSATU turut mengumumkan perletakan semua jawatannya sebagai Ketua Penaja PPBM Bahagian Teluk Kemang dan Setiausaha Kerja PPBM Pusat, selain menolak tawaran Pengerusi Perhubungan BERSATU Negeri Sembilan.

Malah beliau juga mendedahkan kepincangan dalam PPBM, iaitu pemimpin atasan parti itu tidak mahu mendengar pendapat atau suara mereka yang baru menyertai politik.

Selain itu, beliau turut mengakui bukan mudah untuk PPBM memang di kawasan yang majoriti pengundinya Melayu. Ini kerana PPBM ditubuhkan bukan untuk membela orang Melayu, walaupun parti itu sering melaung-laungkan ia adalah berasaskan perjuangan orang Melayu.

Sebaliknya, parti itu ditubuhkan semata-mata kerana mereka mahu menewaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang akan datang tidak lama lagi.

Jika diimbas kembali ketika Mahathir pernah mencemuh pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas BN mencatatkan rekod terburuk dalam PRU 2008, beliau tidak pula sampai ke tahap menubuhkan parti politik untuk menjatuhkan Abdullah tetapi dalam pentadbiran Najib, beliau berkerat rotan, berpatah arang dengan Najib.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir ikut serta kerana mereka sudah terpinggir daripada UMNO lantaran tidak setia kepada perjuangan parti dan Presiden UMNO.

Dek kerana dendam dan atas dasar ingin menumbangkan BN, Mahathir sanggup melupakan kata-katanya sendiri ketika memimpin UMNO-BN yang begitu lantang menyifatkan DAP bukanlah parti yang boleh dipercayai kerana parti itu mengamalkan sifat perkauman dan tidak akan mampu membela bangsa Melayu.

Jika dilihat dalam pemikiran pemimpin PPBM, mereka yakin orang Melayu, khususnya yang berusia kurang 40 tahun akan memberikan sokongan kepada calon parti itu dalam PRU-14.

Meskipun begitu, mungkin mereka terlupa bahawa pengundi muda Melayu juga bimbang apabila melihat Mahathir sudah berjabat tangan dengan pemimpin parti rasis dan cauvinis DAP dan duduk bersama-sama di atas pentas pembangkang.

Ini kerana bukan semua pengundi muda yang tidak mengenali siapa sebenarnya pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang. Jika dilihat sepanjang pembabitan Kit Siang dalam DAP sekitar tahun 1960-an hingga kini, mereka tidak mungkin percaya kononnya DAP tidak mengamalkan perkauman.

Ini boleh dibuktikan apabila parti rasis itu sudah mula campur tangan dalam urusan fatwa dan agama Islam.

Walaupun PPBM sudah berkira-kira mampu menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen tertentu yang pada pendapat mereka akan menyaksikan perubahan sokongan pengundi daripada UMNO kepada PPBM.

Namun, PPBM jangan lupa bahawa pengunduran pemimpin parti itu seperti yang dilakukan oleh Kamarul Zaman membuktikan parti berkenaan tidak mempunyai kekuatan jentera untuk melaksanakan kerja-kerja jentera pilihan raya apabila tiba waktunya.

Jika parti itu hanya bergantung kepada jentera rakan sepasukannya seperti DAP, PKR dan PAN sekali pun tidak akan membolehkan PPBM menang kerana hakikatnya rakan-rakannya dalam pakatan itu juga menghadapi masalah untuk menggerakkan jentera masing-masing.

Akhirnya, PPBM akan tinggal sebagai parti yang hanya gah dari aspek hujah-hujah bekas pemimpin negara seperti Mahathir dan Muhyiddin tetapi hakikatnya tidak akan mampu menumbangkan UMNO-BN.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *