China bekukan import arang batu dari Korea Utara

SHANGHAI: Armada kapal kargo Korea Utara kini dalam perjalanan pulang ke pelabuhan Nampo, selepas China mengarahkan syarikat perdagangannya mengembalikan arang batu dari negara terpinggir itu.

Susulan ujian peluru berpandu berterusan yang mencetuskan kritikan antarabangsa, China melarang semua import arang batu Korea Utara, 26 Februari lalu sekali gus memutuskan produk eksport terpenting negara itu.

Menurut sumber yang mengetahui perkara itu, jabatan kastam China mengeluarkan arahan rasmi pada 7 April lalu untuk mengekang penghantaran arang batu antara kedua-dua negara dengan memaklumkan syarikat perdagangan supaya memulangkan kargo arang batu Korea Utara.

Pada hari sama, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping membincangkan ancaman Korea Utara di pusat peranginan Mar-a-Lago.

Menurut maklumat, kira-kira 12 kapal kargo sedang dalam pelayaran ke pelabuhan Nampo dengan hampir semuanya membawa kargo dari China.

Bagaimanapun, pihak berkuasa China tidak memberikan sebarang ulasan mengenainya. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *