Cikgu Kamarul Dakwa Mahathir Yang Amalkan Kronisme Selama Ini

21/04/2017 – Walaupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang ditubuhkan oleh Pengerusinya, Tun Dr Mahathir dan konco-konconya seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak mengakui parti itu kini mengalami krisis dalaman yang teruk, bagaimanapun bekas Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kamarul Azman Habibur Rahman telah membuktikannya.

Dek kerana tidak dapat terima dakwaan pengerusinya mendakwa perletakan jawatan beliau disebabkan kroni, Kamarul Azman membidas dan menyoal Mahathir kembali.

Ini dapat dilihat apabila Kamarul Azman mendakwa kenyataan yang dibuat oleh Mahathir itu hanya cubaan untuk menyembunyikan krisis dalam parti yang semakin kronik.

“Saya tak kecewa (dengan kenyataan Dr Mahathir) pun, kerana saya tahu mereka akan buat kesimpulan begitu, saya berpendapat mereka tak berani menyatakan perkara yang sebenar.

“Dalam apa-apa perkara pun kita akan dapati ada perbezaan pendapat dan kita kena raikan perbezaan pendapat itu,” katanya.

Terdahulu, Mahathir mendakwa perletakan jawatan Kamarul Azman kerana kecewa disebabkan kroni.

“Kroni dia tak pilih dia kot,” kata Mahathir ringkas selepas ceramah di Kampung Pandan Dalam tanpa memberi penjelasan lanjut.

Susulan itu, Kamarul Azman menempelak Mahathir dengan menyoal kembali kepada bekas perdana menteri itu.

“Siapa yang mengamalkan kroni ini (sebenarnya)?,” bidasnya.

Oleh sebab mendakwa Presiden dan Timbalan Presiden PPBM – Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir hanya melantik kroninya bagi jawatan dalaman parti, Kamarul Azman mengumumkan perletakan semua jawatannya dari PPBM pada Selasa lalu.

Beliau mendakwa beliau sangat kecewa dengan pentadbiran pemimpin utama PPBM yang mengamalkan budaya berkenaan.

“Saya kecewa, sangat-sangat kecewa sebab mundurnya bangsa Melayu kerana amalan berpolitik yang sukar ditegur. Dan saya sudah jangka bila saya tegur dan buat keputusan ini, maka ada kata-kata sumbang seperti pemakan dedak.

“Kumpulan ini bila kita buat keputusan, mereka tak cuba menyelami mengapa keputusan ini dibuat, tetapi mereka membuat andaian-andaian sebegini. Mereka tak pernah menyelesaikan masalah, tetapi mengenepikan masalah,” kata Kamarul Azman.

Malah beliau juga mendakwa ada dalam kalangan ahli hanya mementingkan kepentingan peribadi untuk mendapat kuasa.

“Ada dalam kalangan ahli parti cuba berbuat baik dengan pemimpin utama PPBM demi meraih kedudukan dalam parti sekaligus mengenepikan ahli-ahli dan pemimpin yang bekerja keras dan berkorban demi parti tetapi tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya,” katanya.

Kamarul Azman juga yakin ramai lagi pemimpin yang masih bersama PPBM mengakui parti berkenaan mengalami masalah kronisme kronik tetapi enggan bersuara.

Tanpa mendedahkan individu berkenaan, Kamarul Azman mendakwa akan ada lebih ramai lagi pemimpin PPBM bakal mengikut jejaknya meninggalkan parti yang diterajui oleh Mahathir itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *