Dadah Jenis Syabu Dan Pil Ecstacy Bernilai RM347,300 Berjaya Dirampas Polis

KUCHING – Polis menahan seorang wanita serta kenalannya seorang lelaki warga asing dan merampas 962 gram (g) dadah jenis syabu dan 1,299 biji pil ecstasy bernilai sekitar RM347,300 dalam sebuah kotak kurier di sini, minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak Superintendan Sahar Abdul Latif berkata wanita tempatan berumur lingkungan 25 tahun itu ditahan di sebuah pejabat di Jalan Rock di sini hasil maklumat awam dan risikan kira-kira 1.30 petang Khamis lepas.

Beliau berkata pil-pil berkenaan ditemukan dibungkus dengan kertas aluminium sebelum disorok dalam helaian pakaian serta bungkusan Milo yang dimuatkan dalam sebuah kotak Poslaju di pejabat wanita berkenaan. Siasatan mendapati kotak itu dipos dari satu alamat di Kuala Lumpur.

Menurutnya susulan tangkapan itu, polis menahan seorang lelaki warga Nigeria berumur anggaran 28 tahun di Jalan Satok di sini kira-kira 4.50 petang hari yang sama, yang dipercayai bersubahat.

“Lelaki ini merupakan seorang pelajar sebuah kolej swasta. Kedua-dua mereka ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini.

Sementara itu, Sahar berkata polis Sarawak menyiasat 88 kes dan membuat 122 tangkapan berkaitan pengedaran dadah dalam tempoh antara Januari dan Mac tahun ini berbanding 82 kes dan 154 tangkapan pada tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata bagi kes pemilikan dadah pula, 562 tangkapan dibuat pada Januari hingga Mac lepas berbanding 462 tangkapan dalam tempoh yang sama pada 2016.

Menurutnya dari segi rampasan pula 5,835.15g ganja dirampas pada tiga bulan pertama tahun ini, 2,409g rampasan syabu, ketamin 400.62g, pil ecstasy 4,148 biji dan eramin 5 sebanyak 940biji. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *