‘Datuk’ Ditahan AADK Kerana Hisap Dadah

KUANTAN – Seorang lelaki yang mempunyai tiga cicit antara 93 individu ditahan dalam serbuan dilakukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah di sekitar bandar Kuantan, kira-kira jam 6.30 pagi kelmarin.

Ketua Pegawai AADK Kuantan, Nor Haffiza Ibrahim berkata, warga emas berkenaan sebelum ini pernah ditahan oleh pihaknya namun kembali terbabit dengan gejala penagihan dadah.

Menurutnya, ketika serbuan, lelaki berusia 70 tahun yang lengkap berbaju Melayu, kain pelikat dan kopiah terbabit mendakwa baru pulang dari menunaikan solat Subuh secara berjemaah di surau Tanjung Lumpur.

“Bagaimanapun ketika ditahan bersama beberapa suspek yang lain oleh pihak berkuasa, dia didapati turut membeli dan memiliki heroin,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini semalam.

Beliau berkata, operasi yang dilakukan secara besar-besaran itu berjaya menahan 91 lelaki dan dua wanita berusia di antara 16 hingga 70 tahun.

“Mereka ditahan di tiga lokasi port dadah yang menjadi sasaran di sini iaitu Tanjung Lumpur, Beserah dan Jaya Gading. Operasi bermula seawal jam 5 pagi kelmarin dan berakhir 3 pagi semalam.

“Kami sentiasa melakukan pemantauan dan mengenal pasti beberapa lagi kawasan lain yang turut menjadi sarang penagihan dadah bagi meneruskan operasi membasmi penagihan dadah dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, katanya, selepas ujian saringan air kencing dilakukan, 72 suspek didapati positif manakala 21 pula negatif.

“Bagaimanapun semua yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – sh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *