Diganggu Pocong Di Jalan Raya Ayer Hitam

19/04/2017 – Pernah mengalami pengalaman seram ketika memandu kereta di tengah malam? Kisah yang dikongsikan di IIUM ini menceritakan pengalaman diganggu pocong ketika balik lewat malam.

“Apa yang nak saya ceritakan ini ialah satu kisah benar yang berlaku beberapa tahun dulu. Ketika itu saya bekerja di Kangar, Perlis. Rumah tempat saya tinggal pula di Alor Setar, Kedah. Setiap hari saya berulang alik dari rumah di Alor Setar ke Kangar sejauh 50 kilometer pergi balik 100 kilometer. Kadang-kadang saya balik lewat ke rumah, sebab bos suka panggil mesyuarat waktu malam. Bos suka buat mesyuarat lepas jam 10 malam kerana siang dia sangat sibuk dengan kerja pejabat.”

“Jika malam ada mesyuarat, biasanya saya tunggu di pejabat sampai malam. Lepas semua orang balik dari pejabat jam 5.00 petang, tinggallah saya seorang diri di pejabat hingga mesyuarat selesai. Tapi itu dah jadi rutin biasa, duduk di pejabat seorang diri sambil menghabiskan kerja yang berlambak itu.”

“Suatu hari PA boss beritahu malam ini boss panggil mesyuarat. Malam itu yang paling tak seronok ialah bos datang lewat kerana dia ada urusan lain sebelum itu. Mesyuarat dijadualkan jam 9.30 malam, tapi bos datang hampir 10.45 malam. Tapi apa nak kata, boss always right. Agenda mesyuarat pula panjang kerana ramai sangat orang nak cakap, hingga mesyuarat cuma tamat pada jam 12.45 pagi.”

“Lepas mesyuarat habis, bos jemput semua yang hadir menikmati supper. Tapi saya terus balik, tak teringin nak makan di tengah malam buta ini. Kalau makan, pukul berapa nak sampai rumah? Esok pagi pukul 5.30 pagi dah kena bangun untuk kerja. Orang Kangar tak apalah rumah mereka cuma sejengkal saja dari pejabat, tapi saya terpaksa membelah pagi buta sejauh 50 kilometer untuk sampai ke rumah.”

“Seperti biasa bila mengenderai kereta seorang diri, saya akan pasang radio agak kuat. Sambil dengar radio, sesekali ikut menyanyi. Menyanyi tu bukan apa, selain dari menghiburkan hati, ia juga untuk hilangkan rasa mengantuk. Malam itu entah mengapa, lepas saja melepasi pekan Sanglang, kereta di jalanan semakin kurang. Bila tiba ke pekan Air Hitam, saya perhatikan tiada kereta di depan dan di belakang lagi.Kira-kira 2 kilometer selepas pekan Air Hitam kereta dipandu melalui sebuah kawasan bendang yang agak luas dan di situlah segala-galanya bermula.”

“Tiba-tiba dalam kedinginan aircon terdengar seperti suara gemersik dari arah sebelah kanan bendang. Bila diperhatikan ke arah bunyi suara itu, ternampak satu objek besar berwarna putih bergolek-golek dari tengah bendang menuju ke arah jalan raya. Objek putih itu tiba-tiba berhenti di tengah-tengah jalan. Ia menyerupai seperti satu bongkah putih bersinar terang yang agak besar. Pilihan saya ketika itu ialah sama ada melanggar objek putih itu atau mengelaknya. Kalau cuba mengelak di kawasan jalan berlekoh seperti itu, mungkin akan menyebabkan kereta saya terpelanting masuk ke dalam bendang. Kalau langgar, kereta saya pula yang mungkin rosak.”

“Akhirnya saya nekad melanggar saja objek itu. Terdengar satu dentuman agak kuat bila kereta melanggar objek putih itu. Ketika itu saya berkata dalam hati: habislah kereta aku!! Saya mengucap panjang dan membaca beberapa ayat suci sambil cuba membawa kereta setenang mungkin. Saya tak berani tengok cermin belakang kereta, takut ternampak sesuatu yang saya tak bersedia tengok! Ketika menghampiri bandar Alor Setar barulah banyak kenderaan yang ditemui. Ketika itu barulah hati terasa tenang. Barulah mata berani tengok cermin belakang kereta.”

“Ketika tiba di rumah, perkara pertama yang saya lakukan ialah mencuci kaki di luar rumah sebelum masuk rumah. Itu petua orang tua-tua. Kemudian baru saya pergi periksa kereta yang baru melanggar objek misteri bewarna putih yang menghasilkan dentuman yang kuat itu. Anehnya saya tak menemui sedikit pun kesan kemik di kereta. Alhamdulillah. Habis apa ke benda yang saya langgar tu?”

“Esoknya setiba di pejabat, saya ceritakan peristiwa itu kepada rakan-rakan pejabat. Seorang pemandu pejabat yang sering melaui kawasan itu kata memang sudah ramai orang yang nampak benda-benda pelik berdekatan kawasan bendang Ayer Hitam di waktu malam dan awal pagi. Kadang-kadang ia menyerupai pocong/bongkah putih, kadang-kadang dalam bentuk sekawan binatang liar yang melintasi jalan dalam jumlah yang banyak dan kadang-kadang menyerupai pokok yang tiba-tiba tumbang di atas jalan.”

“Bagi yang tak bernasib baik mereka akan elakkan kereta dari melanggar benda-benda itu dan akibatnya kenderaan mereka akan terhumban ke dalam bendang. Ramai yang pernah tercedera, malah terbunuh apabila apabila kenderaan terbabas dalam bendang selepas melihat benda-benda itu. Mujurlah saya telah membuat keputusan tepat dengan melanggar lembaga putih itu. Jika cuba elakkannya mungkin nama saya akan masuk berita TV esok hari dengan gambar kereta remuk bersama pemandu yang terkulai layu di dalamnya!”

“Pesan saya kepada pemandu-pemandu kenderaan yang melalui jalan Ayer Hitam ke Alor Setar di tengah malam atau awal pagi, berhati-hatilah. Kalau ternampak objek pelik di tengah jalan langgar saja, jangan bagi muka kepada iblis dan syaitan. Iblis bukan objek yang ada berat badan, langgar macam mana pun ia tak akan rosak. Sebaliknya kalau elakkan makhluk puaka itu, mungkin kenderaan kita yang rosak dan jika nasib tak baik tulang dan daging tubuh kita juga turut hancur dan rosak!” – MissA/UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *