Erdogan bidas pemerhati Antarabangsa yang cuba campurtangan politik Turki

ANKARA: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menolak kritikan pemantau antarabangsa ke atas pungutan suara yang memberinya kuasa tambahan namun dipertikaikan pembangkang dan mendedahkan perbalahan ketara dalam negara itu.

Pungutan suara itu dilihat penting bukan hanya untuk membentuk sistem politik Turki namun hala tuju strategik akan datang bagi negara yang menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sejak 1952 dan berharap menyertai Kesatuan Eropah (EU) selepas 50 tahun.

Erdogan yang pulang dengan kejayaan ketika memijakkan kaki di istana presiden di sini, beliau berucap di hadapan ribuan penyokong yang berkumpul di luar, memberitahu pemantau yang mengkritik undian itu: “Sedarlah diri.”

Erdogan berkata, Turki mungkin mengadakan pungutan suara susulan berkaitan percubaannya untuk menyertai EU dan memperkenalkan semula hukuman mati.

Kem ‘Ya’ menang 51.41 peratus dalam pungutan suara Ahad lalu, menurut keputusan lengkap dikeluarkan pihak berkuasa pilihan raya.

Namun pembangkang segera mengeluarkan bantahan, mendakwa satu undian bersih mungkin memberi perbezaan beberapa mata peratusan sekali gus memberikan kejayaan di pihak mereka.

Sehubungan itu, Parti pembangkang utama Parti Rakyat Republikan (CHP) dan Parti Demokratik Rakyat pro-Kurdis (HDP) berkata, mereka akan mencabar keputusan itu pungutan suara itu berikutan wujud dakwaan berlaku pelanggaran.

“Hanya ada satu keputusan yang meredakan situasi dalam konteks undang-undang, Lembaga Pilihan Raya Agung (YSK) perlu membatalkan keputusan itu,” kata agensi berita Dogan memetik timbalan ketua CHP, Bulent Tezcan sebagai berkata.

Jurucakap HDP dan pembuat dasar, Osman Baydemir memberitahu media di sini, pungutan suara itu tidak mempunyai ‘kewajaran demokratik’. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *