Estranged Tak Yakin Dengan Persembahan Mereka Untuk Konsert Akan Datang

Kumpulan Estranged masih tidak yakin mengenai sambutan yang bakal diterima terhadap persembahan mereka yang akan dilakukan pada 13 Mei depan.

Pemain gitarnya iaitu Din atau Solihuddin Hormat berkata, walaupun pada siri konsert itu pada Februari lalu di Johor Bahru mendapat sambutan dengan kehadiran 600 orang peminat, jumlah itu mungkin akan berkurangan bagi persembahan di ibu negara.

“Sasaran itu sebenarnya lebih sedikit daripada jumlah peminat yang hadir pada konsert di Johor Bahru. Kami perlu sedar dengan keadaan ekonomi sekarang dan turut bimbang,” katanya kepada mStar Online.

Estranged ditemui pada sidang media konsert Estranged Sepenuhnya : Setia Sedekad, Itu Kamu di Drum Asia Jamming Studio, Desa Sri Hartamas di sini, pada Selasa.

Selain Din, Estranged turut dianggotai oleh Rich (Richael Lawrence Limbang) selaku vokalis dan Nor Hanafi Hadi (gitar utama).

Dalam pada itu, Rich pula berkata, mereka bakal menyampaikan 20 buah lagu berbanding 15 lagu di Johor Bahru.

“Di Johor Bahru kami bawakan 15 buah lagu, tetapi di Kuala Lumpur kami berikan yang lebih istimewa iaitu sebanyak 20 buah lagu. Kami mahu beri yang terbaik buat mereka yang hadir.

“Estranged tidak pernah membuat konsert berbayar sebelum ini, jadi konsert ini satu pencapaian yang baik buat kami,” katanya.

Dalam perkembangan lain, album terbaru mereka yang sepatutnya dilancarkan pada Februari lalu terpaksa ditangguhkan kerana ingin memberi komitmen kepada siri konsert ini.

“Sepatutnya album Sepenunya Vol. 2 keluar pada bulan Februari atau Mac lalu, namun banyak perkara yang terjadi sehingga ia terpaksa ditangguhkan.

“Bulan Ramadan juga sudah hampir tiba, jadi kami merancang untuk melancarkan album tersebut pada bulan Julai,” katanya.

Tiket untuk menyaksikan persembahan mereka di Kuala Lumpur boleh didapati secara atas talian dan boleh dibeli di pintu masuk Auditorium Bentley pada 13 Mei 2017.

Ia dijual pada harga RM50. – ms

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *