Generasi muda dinasihatkan jangan terlampau memilih kerja

KENINGAU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan meminta golongan pencari kerja supaya tidak terlalu memilih pekerjaan ketika suasana ekonomi tidak menentu sekarang.

Beliau berkata golongan berkenaan perlu membuang sifat malu untuk memulakan pekerjaan dari peringkat bawah dalam apa sahaja bidang pekerjaan.

“Bagi mencapai negara maju berpendapatan tinggi, pekerja berkemahiran teknikal sangat diperlukan iaitu sekurang-kurangnya 35 peratus menjelang tahun 2020. Oleh itu saya berharap golongan pencari kerja di negeri ini tidak terlalu memilih perkerjaan yang ada,” katanya ketika berucap pada Majlis Kerjaya dan Karnival Pekerjaan 2017 peringkat daerah Keningau di sini, semalam.

Mengulas mengenai program berkenaan, Pairin berkata ia merupakan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) iaitu kerjasama antara agensi berkaitan dalam membantu pencari kerja mendapatkan kerja, selain medium untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai peluang pekerjaan.

Katanya, program berkenaan juga dapat membantu para majikan untuk memperoleh pekerja yang berkelayakan serta berpotensi dalam syarikat masing-masing.

Pada majlis itu, sebanyakl 123 majikan turut serta dalam karnival yang bermula pada 24 April di Kota Kinabalu dan berakhir di Sandakan pada 29 April bagi mengisi 4,745 kekosongan jawatan dalam pelbagai sektor.

– Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *