Hargailah Ibu Kita Jika Mereka Masih Ada

21/04/2017 – Segarang-garang mana pun ibu bapa kita, sebenarnya garang itu terselit rasa kasih dan sayang pada anak-anak. Ibu bapa mana yang tidak sayang anak. Tetapi, pelbagai cara yang ditunjukkan oleh ibu bapa tanda mereka sayang anak-anak mereka.

Ada sesetengah ibu bapa menunjukkan rasa kasih dan sayang pada anak-anak mereka dengan manjakan anak-anak. Apa sahaja yang anak-anak mahukan akan diberikan oleh ibu bapa mereka. Tetapi, ada juga ibu bapa menunjukkan kasih sayang dengan bersikap tegas dengan anak-anak.

Ibu bapa garang atau tegas itu bersebab, untuk mendidik anak-anak supaya menjadi lebih matang dan berdikari. Apabila ibu bapa sudah tua sebagai anak-anak, jagalah mereka dan hargailah masa-masa bersama mereka. Jangan pernah menjadi anak yang terlalu sibuk mengejar dunia sehingga lupa tanggungjawab kepada ibu bapa.

“Saya ingin berkongsi cerita sedih saya untuk mereka yang tidak punyai masa untuk ibubapa. Kisah saya kisah ibu yang garang. Mana tahu lepas ini lebih ramai anak-anak yang akan jenguk ibu bapa di kampung.”

“Ibu saya garang di usia mudanya kini ibu sudah mencapai usia 91 tahun. Saya yang menjaganya sekarang sebab tak ada anak yang sudi nak jaga ibu sebab semuanya berkeluarga dan belajar. Adik beradik saya 7 orang semuanya. Saya bukan anak kesayangan sejak dulu lagi tapi saya tahu ibu sayang juga pada saya.”

“Langkah ibu tak segagah dulu dah bongkok. Lemah dan kurus, namun begitu ibu enggan dibantu ketika berjalan. Teringat di usia kecil ibu kejar saya dengan parang, sebab tak nak mandi saja pun. Gelak saya kalau ingat masa kecil, kuat ibu lari. Ibu dah tak ingat saya sebab dia hari-hari cerita Along hilangkan rantai yang ibu bagi dia kata along cuai. Tapi dia tak tahu sayalah Along.”

“Ibu sayang angah kerana angah anak kesayangan. Angah pandai, kaya dan duduk KL. Ibu suruh telefon angah, saya bagitahu angah sibuk kalau tak mesti angah telefon. Minggu depan angah balik, ibu gembira padahal saya tahu raya nanti kot angah balik. Itu pun kalau bukan giliran rumah mertua lah. Tak kisah lah ibu bukan ingat hari.”

“Hari ini saya masak ayam masak kicap, saya cedok seketul ayam pada ibu. Ibu kata tak nak dia tak makan ayam. Saya pejam mata hati saya disiat-siat. Itu makanan kegemaran ibu kot. Ibu jangan nak tipu ibu hanya makan nasi putih dan ikan masin. Dia kata itu saja yang dia boleh telan, saya tak boleh menangis. Tolonglah air mata jangan keluar sebab ibu akan pelik tengok saya menangis nanti.”

“Ibu, pukul lah saya, kejarlah saya cepatlah membebel. Macam dulu. Walaupun saya pernah benci ibu sebab ibu cubit saya dan sangat garang tapi saya lebih suka ibu saya yang dahulu. Apa saya nak buat ni saya ada sedikit masa saja lagi nak bahagiakan ibu.”

“Untuk anak-anak mungkin untuk adik-adik saya juga, yang masih ada ibu hargailah mereka. Sampai waktunya kita akan menyesal kerana tidak habiskan waktu bersama mereka. Untuk ibu, along rasa ibu adalah ibu terbaik. Harap kita punya masa yang lebih untuk bersama. Nak ibu ada waktu along kahwin nanti walaupun entah bila.” – MissA/UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *