Hubungan PKR-PAS Cuba Dirosakkan Oleh Orang Dalam PKR Sendiri

SHAH ALAM – Pendedahan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli bersabit pemimpin PAS menerima dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mempunyai kaitan bahawa ada pihak dalam parti itu mahu menjejaskan hubungan tahaluf siyasi mereka.

Meskpun tiada bukti yang kukuh, penganalisis politik Prof Datuk Ramlah Adam melihat senario ini berdasarkan kenyataan yang tidak selari dikeluarkan PKR bersabit hala tuju hubungan antara PKR-PAS.

“PKR saya rasa memang berkecamuk disitu. Kita rasa macam dua tiga orang (ketua) pula dalam PKR. Presiden seorang, tetapi yang buat kenyataan kadang-kadang timbalan tak peduli ini, timbalan yang kedua pula juga tidak peduli.

“Bagi saya PKR ini dia ada krisis kepimpinan. Krisis kepimpinan, Wan Azizah tidak boleh kawal Rafizi dan tidak boleh kawal Azmin. Jadi saya rasa ini keadaan yang memang dari dulu dah nampak,” ujarnya ketika dihubungi Antarapos.

Umum mengetahui hubungan PKR-PAS kini ibarat retak menanti belah yang boleh putus pada bila-bila masa saja.

Namun pentadbiran dalam kerajaan negeri Selangor berjaya mengikat dan mengekalkan hubungan berkenaan.

Ada juga suara-suara pimpinan dalam PKR yang lantang mahu kerjasama itu diputuskan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Rafizi terdahulu mendedahkan bekas pemimpin PAS yang menerima dana 1MDB adalah bekas Timbalan Presidennya Datuk Dr Nasharudin Mat Isa.

Tetapi ia dinafikan Nasharuddin dan menyifatkannya sebagai fitnah dan hanya mahu memburukkan PAS dan dirinya.

Malah beliau bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Pandan itu.

Dalam pada itu Ramlah juga turut menyelar tindakan Rafizi ini yang mengundang rasa benci orang ramai terhadap politik di Malaysia.

“Sebab banyak pembangkang macam itulah dia dengar orang cakap, gosip, kadang viral dia ambil. Jadi bagi saya mereka ini kurang cekaplah dari segi ini. Tetapi dari segi sensasi politik mereka boleh timbulkanlah. Tapi saya rasa apakah tujuannya dia (Rafizi) nak buat macam tu? Adakah dia nak jatuhkan Umno ke jatuhkan PAS?

“Jadi, pada saya dia menimbulkan lagi satu keadaan yang tegang. Dia sebenarnya membuatkan orang lagi meluat dengan politik orang Melayu dalam Malaysia,” katanya lagi. – ap

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *