Hukuman Rotan Bukan Pilihan Utama Kepada Guru Atau Warden Sekolah Tahfiz

PORT DICKSON – Hukuman rotan bukan pilihan utama kepada guru-guru atau warden di sekolah tahfiz, sebaliknya ia adalah pilihan terakhir jika pelajar itu melakukan sesuatu kesalahan, kata Persatuan sekolah tahfiz al-Quran (Permata) Johor.

Presidennya, Mohd Aripi M Husin berkata terdapat 3 pilihan yang menjadi asas untuk guru atau warden di sekolah tahfiz sebelum hukuman dikenakan.

“Pertamanya, kita akan beri nasihat. Jika pelajar tahfiz melakukan kesalahan lagi, kita akan beri amaran dan ke-3 jika berulang, kita akan mengadakan pertemuan dengan ibu bapa pelajar terbabit.

“Jika ketiga-tiga urutan itu telah dilakukan, barulah kita akan pergi kepada rotan. Manakala rotan yang digunakan mestilah bersesuaian dan tempat yang dirotan tidak mencederakan dan memudaratkan.

“Apa yang nak ditekankan, rotan bukan perkara penting di sekolah tahfiz dan perkara itu jangan salah faham,” katanya kepada FMT di Hotel Lexis di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pembantu warden asrama memukul Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, menggunakan paip getah. Lelaki berusia 29 tahun itu yang remannya disambung sehingga 3 Mei ini, memiliki 1 rekod jenayah lampau berhubung kesalahan mencuri dalam bangunan.

Pelajar berusia 11 tahun itu dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail, minggu lalu, dan terpaksa memotong 2 kakinya bagi menghalang jangkitan kuman merebak ke tisu dan sel darah dalam tubuhnya.

Beliau sepatutnya menjalani satu lagi pembedahan memotong tangan kanannya, tetapi terpaksa ditangguhkan disebabkan jantungnya tidak stabil. Beliau bagaimanapun meninggal dunia beberapa jam kemudian, pada petang Rabu lalu.

Hukuman baru diperkenalkan untuk pelajar degil

Aripi berkata, rotan bukan lagi pilihan guru atau warden di sekolah tahfiz selepas 2 bentuk hukuman baru diperkenalkan, iaitu pendidikan emosi dan kejiwaan.

“Hukuman yang kita selalu utamakan seperti kita panggil ‘khidmat atau hukuman dalam bentuk pelaksanaan ibadat.

“Selain meminta mereka membersihkan kantin, tandas atau sampah, kita juga akan denda mereka menghafal surah atau doa tertentu,” katanya.

Jenis kesalahan pelajar tahfiz

Aripi berkata, hukuman hanya akan dikenakan kepada pelajar yang melakukan beberapa jenis kesalahan tertentu, antaranya kegagalan menghafal dan mengikuti kehendak sekolah tahfiz.

“Seperti pelajar tahfiz itu malas dan tidak fokus.”

Beliau bagaimanapun berkata, hukuman berat akan dikenakan ke atas pelajar yang mengulangi kesalahan sama seperti membuli, ponteng sekolah, merokok dan mencuri.

“Ini terpaksa dikenakan hukuman jenis berat jika kesalahan dilakukan lagi. Kesalahan pertama kita akan bagi amaran, ke-2 hukum dalam bentuk khidmat dan jika masih teruskan kesalahan, kita akan rotan atau kalau teruk sangat, kita akan berhentikan pelajar itu,” katanya.

Mengulas kes kematian Thaqif, Aripi tidak menolak kemungkinan ada kesilapan yang dilakukan pembantu warden itu, jika dilihat dari aspek kemanusiaan.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan semua pihak tidak menunding jari kepada sesiapa sehingga siasatan kes itu selesai.

“Kes itu masih dalam siasatan. Sekolah itu juga ada CCTV banyak. Kita harap kes itu dapat disiasat dengan telus,” katanya. – fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *