Ibubapa akan dikenakan tindakan jika biar anak-anak berbasikal di tengah malam.

JOHOR BAHRU – Ibu bapa remaja yang ditahan berulang kali menunggang basikal diubah suai secara berbahaya di sekitar Johor akan dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Kanak-kanak 2001.

Cadangan itu diutarakan Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berikutan pihaknya kecewa dengan kejadian pada Sabtu lalu.

Ia menyaksikan kumpulan remaja berbasikal yang diubah suai mengulangi kegiatan sama secara berkumpul di lokasi kejadian yang mengorbankan lapan nyawa, 18 Februari lalu.

Najmuddin berkata, pihaknya telah meminta Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan untuk menyiapkan laporan sebelum beliau mengusulkannya kepada Pejabat Menteri Besar bagi menangani gejala itu.

“Polis tidak mahu menggunakan pendekatan drastik menghukum ibu bapa, tetapi sekiranya mendesak dan perkara ini berulang membabitkan kumpulan sama, polis akan menuduh (di mahkamah) ibu bapa remaja berkenaan.

“Kita akan dakwa mereka (ibu bapa) mengikut Akta Kanak-kanak 2001 kerana membiarkan anak tanpa pengawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan bersama pegawai dan 20 ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di Hospital Sultanah Aminah (HSA), hari ini.

Kelmarin, 22 remaja termasuk dua perempuan berusia 14 hingga 17 tahun ditahan kerana terbabit dengan kegiatan menggunakan basikal ubah suai.

Mereka juga didapati bersalah kerana menunggang dalam keadaan berbahaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *