Kelantan Bukan Mundur Seperti Yang Didakwa Zaid Ibrahim – PAS

PETALING JAYA – Keputusan Datuk Zaid Ibrahim memfailkan saman terhadap kerajaan Kelantan bagi mencabar peraturan mewajibkan peniaga berehat pada waktu Maghrib adalah kerana beliau “takut dengan kebangkitan Islam”, kata seorang exco Kelantan.

Datuk Che Abdullah Mat Nawi, yang mempengerusikan Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau, berkata Zaid tidak dapat menilai Kelantan dari kaca mata Islam.

“Zaid tidak melihat Kelantan dari sudut Islam sebab itu beliau mendakwa Kelantan tidak membuat sebarang pembangunan,” katanya dipetik lidah rasmi PAS, Harakahdaily.

Zaid yang juga bekas ahli Parlimen Kota Bharu sebelum ini berkata peraturan mewajibkan semua peniaga pasar malam untuk berhenti berniaga ketika masuk waktu Maghrib adalah tidak sah di bawah undang-undang, sebaliknya hanya menyusahkan rakyat Kelantan yang mencari rezeki.

“Pemimpin yang makan dedak tak payah cari makan di pasar malam. Orang biasa nak cari makan bikin susah,” katanya dalam kiriman Twitter.

Zaid, yang juga bekas menteri undang-undang di bawah Jabatan Perdana Menteri, berkata akan memfailkan saman ke atas kerajaan Kelantan minggu ini, sambil menyifatkan peraturan itu cuba mengambil peluang ke atas umat Islam yang takut dilabel “jahil”.

Menurutnya peraturan melarang peniaga membuka kedai sebelum 3 petang sepanjang bulan Ramadan juga adalah tidak sah di bawah undang-undang.

Che Abdullah yang juga setiausaha PAS Kelantan berkata mereka yang tidak melihat Kelantan dari sudut Islam akan terpengaruh dengan dakwaan negeri itu mundur.

Menurutnya, langkah Kelantan mengharamkan judi dan hiburan tanpa kawalan, di samping memindahkan dana kerajaan ke dalam akaun Bank Islam, adalah usaha “ke arah memartabatkan Islam”.

“Saya yakin rakyat Kelantan tidak termakan dengan kritikan yang dilemparkan pemimpin terbabit termasuk mengugut mahu menyaman kerajaan negeri isu menghentikan seketika urusniaga pasar malam pada waktu Maghrib.

“Serangan beliau kali ini juga atas sifat yang sama, takut kepada kebangkitan Islam yang dibawa kerajaan Kelantan,” kata Che Abdullah.

Kerajaan Kelantan pimpinan PAS baru-baru ini berdepan kritikan di sebalik usaha meluaskan peraturan mewajibkan peniaga pasar malam termasuk bukan Islam menghentikan aktiviti perniagaan ketika waktu Maghrib.

Peniaga yang enggan mematuhi arahan itu boleh dikenakan denda atau digantung lesen perniagaan. – fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *