Kenapa Guan Eng Takut Untuk Dedahkan Kontrak Projek Tambak Laut?

20/04/2017 – Untuk menutup kegagalan mentadbir negeri di bawah pimpinan mereka, Kerajaan DAP Pulau Pinang sering mengelak untuk bekerjasama dan bertanggungjawab atas apa yang dilakukan mereka.

Ini dapat dilihat apabila Kerajaan DAP Pulau Pinang sekali lagi didesak supaya mengemukakan semua kontrak persetujuan dengan syarikat SRS Konsortium secara tanpa syarat.

Naib Pengerusi Gerakan negeri, Oh Tong Keong menegaskan bahawa tindakan berkenaan perlu dilakukan kerana permohonan yang dibuat oleh ahli parti itu sebelum ini untuk mendapatkan maklumat tentang keluasan sebenar kawasan laut yang akan ditambak di bahagian selatan negeri ini telah ditolak oleh kerajaan negeri.

Dalam soal ini, beliau berkata Kerajaan DAP Pulau Pinang bersikap angkuh dan enggan mendengar suara rakyat negeri ini yang ingin tahu mengenai perkembangan projek berkenaan.

Memetik kenyataan ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook sebelum ini pernah mengatakan bahawa seseorang itu tidak perlu gentar dengan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 sekiranya tidak pernah melakukan kesalahan, maka Tong Keong meminta kerajaan negeri juga tidak perlu gentar untuk kemukakan dokumen yang diminta sekiranya tidak ada kesalahan.

Tambah Tong Keong, beliau telah telah beberapa kali membangkitkan isu laporan bertindih membabitkan projek tambak laut di sekitar Persiaran Gurney kerana berasa sangsi berhubung penglibatan beberapa individu misteri yang berada di belakang tabir dalam projek berkenaan.

Menurut beliau, disebabkan wujud beberapa perkara meragukan, pihaknya mengesyaki Kerajaan DAP Pulau Pinang ‘tidak berani’ untuk mengemukakan kepada rakyat negeri ini tentang kandungan kontrak bagi projek penambakan laut di kawasan berkenaan dan Seri Tanjung Pinang 1 (STP1) dan Seri Tanjung Pinang 2 (STP2) sehingga hari ini.

“Oleh itu, saya beranggapan bahawa projek tambak laut di bahagian selatan negeri ini juga melibatkan individu-individu yang masih tidak dikenali identitinya sehingga menyebabkan kerajaan negeri tidak mampu mengemukakan perincian berhubung perkara ini.

“Lebih membimbangkan, pada peringkat awal projek dimaklumkan sebanyak 4,000 ekar tanah akan ditambak namun berubah menjadi 4,500 ekar pada 2015,” ujarnya.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Gerakan negeri, Jason Loo meluahkan kekecewaan apabila permohonan beliau untuk mendapatkan beberapa dokumen membabitkan projek tambak laut di negeri ini ditolak oleh Kerajaan DAP Pulau, walaupun perkara berkenaan dibenarkan menerusi polisi Kebebasan Maklumat negeri (FOC) yang diperkenalkan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *