Kerajaan Negeri Johor Beri Sumbangan Kepada 34 NGO

JOHOR BAHRU – Sebanyak 34 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelbagai bangsa di negeri ini, menerima sumbangan daripada Kerajaan Johor bagi menjalankan pelbagai aktiviti dan pengurusan organisasi.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, sumbangan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kepada semua NGO tersebut berjumlah RM960,000.

“Kerajaan Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar sentiasa mengiktiraf pelbagai badan mahupun kumpulan NGO dilihat sentiasa dekat dengan masyarakat di peringkat akar umbi.

“Kita percaya dengan sumbangan diberikan dapat menggerak dan menyemarakkan aktiviti mahupun program untuk setiap NGO-NGO ini, sekali gus menjadi kumpulan gerakan yang membawa dasar dan inisiatif kerajaan,” katanya ketika ditemui di Laman Seni Yayasan Warisan Johor di sini semalam.

Zulkurnain berkata, Kerajaan Johor sentiasa komited membangunkan negeri ini, dengan cara tersendiri di mana pihak NGO mewakili pelbagai bangsa juga turut memain peranan menyuburkan nilai positif menerusi aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.

“Inilah Johor Berkemajuan yang dinyatakan oleh Menteri Besar. Kumpulan NGO ini menjadi instrumen kepada transformasi rakyat dan seterusnya, mereka membawa rakyat untuk turut sama menyumbang kepada negeri dan negara.

“Dalam soal melihat kemakmuran Johor, NGO perlu juga ada peranan dalam menyumbang kepada kemajuan.

“Mereka ada inisiatif, idea dan pandangan tersendiri malah kewujudan NGO wajar diiktiraf,” katanya.

Selain itu, beliau turut meminta NGO untuk sama-sama memberi pandangan dan bergerak seiring dengan kerajaan dalam memastikan kestabilan negeri dan negara terus berkekalan. – sh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *