Kerajaan Perlis tak mampu kawal harga Harumanis

KANGAR: Kerajaan negeri tidak boleh menyekat harga penjualan mempelam harumanis tetapi boleh mengawal harga dan kualiti buah tersebut bagi mengekalkan keunikan ikon Perlis itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Ahmad Bakri Ali berkata walaupun harga siling harumanis ditetapkan RM26 satu kilogram, peniaga boleh menjualnya lebih tinggi mengikut kualiti buah tetapi secara terkawal.

Katanya Jabatan Pertanian Negeri melakukan pelbagai strategi termasuk mengadakan kursus penjagaan harumanis mengikut peringkat pertumbuhan buah, pembajaan, penjagaan bunga dan putik, balutan dan menuai buah untuk menghasilkan buah terbaik.

Beliau menjawab soalan Khaw Hock Kong (BN-Titi Tinggi) yang ingin mengetahui langkah-langkah penjagaan harumanis yang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini, Selasa.

Ahmad Bakri berkata melalui Jabatan Pertanian menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi membungkus harumanis supaya buah yang dihasilkan menepati piawaian dari segi tekstur isi, kematangan dan tahap kemanisan.

Selain itu Brix Meter digunakan bagi mengukur kematangan buah, kandungan gula dan kod keselamatan menggunakan pelekat khas yang dilekatkan pada buah, tambahnya.

Ahmad Bakri berkata kaedah penggunaan kod keselamatan adalah untuk mengenal pasti pemilik dan lokasi ladang bagi mengatasi kecurian di samping kualiti dan ciri-ciri buah yang dijual.

“Kerajaan negeri memantau dengan serius penjualan ‘harumanis tipu’ agar orang ramai tidak menjadi mangsa penipuan peniaga-peniaga yang rakus,” tambah beliau. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *