Kit Siang Tak Mengaku Yang Dirinya Teringin Mahu Jadi Perdana Menteri

PETALING JAYA – Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa tidak pernah bercita-cita untuk menjadi perdana menteri, meskipun Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan mana-mana warganegara boleh menyandang kerusi itu.

Kit Siang juga menafikan tuduhan sesetengah pihak terutama Umno Barisan Nasionak (BN) bahawa parti DAP yang dipimpinnya kini mengetuai Pakatan Harapan (PH).

Kit Siang kini berhadapan dengan serangan bertubi-tubi seteru politiknya bahawa DAP akan menguasai Putrajaya jika PH menang pada Pilihan Raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

“Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah pertempuran antara Pakatan Harapan melawan Barisan Nasional (BN), dan jika Umno hilang kuasa kerajaan persekutuan, perdana menteri bukan kalangan orang Cina, tetapi Melayu.

“Isu isu sebenar dalam PRU14 adalah sama ada rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau kawasan boleh menyelamatkan Malaysia,” katanya dalam ucapannya di Plentong, Johor pagi tadi.

Semalam, Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mendakwa Kit Siang akan menjadi perdana menteri jika kedudukan DAP, yang kini mendominasi parti-parti pembangkang di Parlimen, kekal dalam PRU14.

Beliau berkata, memandangkan bilangan kerusi Parlimen DAP yang lebih banyak daripada pembangkang lain, maka semestinya Kit Siang menjadi calon perdana menteri pilihan Pakatan Harapan.

“Jika ini berlaku, barulah orang Melayu sedar pilihan mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-14 kelak merupakan pilihan untuk memilih Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri atau Lim Kit Siang,” kata Shahrizat.

Mengulas kenyataan Shahrizat, Kit Siang berpandangan bukan dirinya atau DAP yang menjadi sasaran Umno BN, tetapi Pakatan Harapan.

Kit Siang juga menafikan komplot antaranya dengan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjadikan Datuk Mukhriz Mahathir sebagai calon perdana menteri pembangkang dan dirinya sebagai timbalan.

“Ini adalah 1 pembohongan. Saya tidak pernah bertemu (Dr) Mahathir untuk mesyuarat rahsia pada 3 Disember lepas, dan dalam pelbagai mesyuarat saya dengan beliau, kami tidak pernah membincangkan subjek perdana menteri atau timbalan perdana menteri,” ujar Kit Siang. – ap

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *