KPDNKK rampas 217 beg tangan jenama tiruan di sebuah Hotel.

Melakukan promosi jualan murah secara eksklusif di hotel dan pusat beli-belah terkemuka pada hujung minggu bagi menjual barangan tiruan.

Itu taktik dilakukan peniaga beg tangan bagi mengelak kegiatan penjualan barangan tiruan dikesan pihak berkuasa.

Mereka dikesan sentiasa berpindah lokasi bagi melakukan promosi jualan beg tangan tiruan daripada jenama terkemuka bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

Malah, promosi jualan murah dianjurkan mereka juga dikesan dilakukan tanpa permit sah.

Bagaimanapun, kegiatan peniaga terbabit terbongkar apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyerbu tapak promosi jualan murah dilakukan di sebuah hotel di PJU 8/8A, Damansara Perdana, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 2 petang, KPDNKK merampas 217 beg tangan jenama tiruan dianggarkan bernilai RM288,000.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Petaling Jaya Kamaruddin Md Yassin berkata, menerusi operasi itu, lapan pegawai dan anggota dikerahkan ke lokasi bagi pemeriksaan.

Katanya, serbuan dilakukan susulan aduan daripada pemilik cap dagangan produk beg tangan asli berhubung penjualan barangan tiruan berkenaan.

“Pemeriksaan dilakukan menemui 50 beg tangan jenama Michael Kors dan 67 beg tangan jenama Burberry disyaki tiruan dari gred A yang hampir 90 peratus menyerupai beg tangan asli yang dikeluarkan pemilik cap dagang sah.

“Beg berkenaan juga didapati dijual dengan harga RM2,000 hingga RM6,000 seunit menerusi promosi jualan murah dilakukan secara eksklusif di hotel terbabit.

“Mereka turut menggunakan khidmat pekerja separuh masa bagi menjaga premis jualan berkenaan dan kita turut mengambil keterangan daripada empat pekerja termasuk pengurus berusia 22 hingga 30 tahun untuk membantu siasatan,” katanya