Kumpulan bantah RUU355 gesa semua ahli Parlimen tolak akta berkenaan.

PETALING JAYA: Kumpulan yang menentang rancangan PAS untuk mengenakan hukuman syariah lebih keras di Malaysia merayu kepada ahli Parlimen supaya hadir di persidangan Dewan Rakyat pada Khamis ini, ketika Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) (pindaan) 2016 dijangka dibentangkan.

Bebas berkata semua ahli Parlimen perlu hadir untuk bercakap bagi pihak sebahagian rakyat Malaysia.

“Mereka perlu undi ‘tidak’ bagi RUU 355,” kata jurucakap Bebas Azrul Mohd Khalib, merujuk kepada akronim rang undang-undang (RUU) itu dalam bahasa Melayu.

“Jangan biarkan kedatangan sedikit di Dewan Rakyat kerana ia boleh menyebabkan RUU itu dibawa ke peringkat seterusnya.”

RUU persendirian itu dibentangkan 2 kali oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, memohon supaya kuasa menjatuhkan hukuman di mahkamah syariah diperkasakan, daripada 3 tahun penjara pada masa ini dan denda RM5,000 serta 6 sekatan dinaikkan kepada 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan sebat 100 kali.

Beberapa pemimpin Umno sebelum ini menyuarakan sokongan kepada RUU itu walaupun dibantah parti komponen bukan Islam dalam BN.

Tetapi minggu lalu, Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan tidak akan mengambil alih membentangkan RUU itu.

Azrul mengulangi bantahan Bebas terhadap RUU itu, berkata pindaan berkenaan akan mengubah cara keadilan ditadbir dengan bergantung pada ketakutan dan hukuman.

“Ia akan menyebabkan ketidaksaksamaan. Ia akan menyebabkan ketidakadilan. Inikah yang Malaysia mahu?

“Mari kita bersatu dalam mempertahankan identiti pelbagai bangsa dan kesederhanaan Malaysia,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *