Lebih Ramai Ahli Seluruh Negara Akan Tinggalkan PPBM Sebelum PRU14

21/04/2017 – Nampaknya kegagalan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir menerajui partinya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semakin terserlah selepas ramai ahli parti bertindak meninggalkan parti itu.

Ahli parti yang bertindak demikian kerana mendakwa parti itu sudah hilang hala tuju dan mempunyai kepentingan peribadi daripada membela nasib rakyat.

Setelah beberapa pemimpin dan orang kuat PPBM meninggalkan parti itu, lebih ramai pemimpin serta ahli dijangka mengikut jejak sama menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Itulah yang didakwa bekas Ketua Aktivis PPBM Negeri Sembilan, Mohd Anas Sudin yang turut mengambil langkah sama sebelum ini.

Beliau menyifatkan pengunduran Cikgu Kamarul yang diumumkan dalam sidang media semalam sudah dijangka lebih awal.

“Gejala kronisme yang tidak terkawal yang semakin parah dalam parti itu, bakal mendorong lebih ramai ahli serta pemimpin akan meninggalkan parti tersebut.

“Banyak lagi. Banyak lagi yang tak puas hati dan akan keluar parti seluruh negara, seluruh Malaysia. Ini menunjukkan PPBM tidak mendapat sokongan daripada rakyat negara ini,” katanya.

Malah beliau mendedahkan antara faktor yang mendorong pemimpin serta ahli untuk meninggalkan parti itu selepas ini apabila Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal memperjelaskan kepada ahli berkenaan isu perlantikan ketua-ketua bahagian dalam PPBM.

Beliau mendakwa terdapat ramai pemimpin akar umbi yang dilantik oleh kepimpinan Muhyiddin, merupakan individu yang bukan sahaja tidak dikenali dalam parti, malah identitinya meragukan ahli lain.

“Ada orang yang terlibat daripada awal penubuhan parti ini sejak tahun lepas, bukan saja tidak dilantik, tapi ‘dirampas’ oleh orang yang tidak dikenali.”

“Kewujudan mereka ini diluar jangkaanlah. Ini menunjukkan parti ini ada satu fenomena baru yang PPBM ini tidak dapat kawal.

“Parti-parti lain, dapat kawal parti dia, parti ini di luar kawalan. Ibarat keluarga yang anak-anaknya bergaduh tiap hari sampai keluar rumah,” katanya.

Sebelum ini, boleh dikatakan ‘orang kuat’ Mahathir, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang juga pengasas PPBM mengambil keputusan untuk keluar parti itu sambil diikuti dengan bekas Senator, Datuk Mohd Ezam Mohd Nor yang hanya menjadi ahli kurang dari tiga bulan.

Susulan itu, salah seorang pengasas PPBM, Cikgu Kamarul Azman Habibur Rahman mengumumkan keluar daripada parti itu baru-baru ini.