Lelaki kecewa kerana tanah kubur milik keluarganya diceroboh.

SEREMBAN: Hasrat seorang lelaki yang mahu keluarganya dikebumikan di lot tanah yang sama terjejas kerana kawasan berkenaan diceroboh.

Pada 1954, Kok Thoo Fatt membeli lima lot tanah di tanah perkuburan Kristian di Cheras, Kuala Lumpur, dan berhasrat untuk dikebumikan di sebelah ibu bapanya dan ahli keluarga lain apabila dia meninggal dunia.

Dia membeli lot tanah berkenaan, bersebelahan dengan tujuh plot yang dibeli bapanya, daripada Majlis Bandaran Kuala Lumpur pada harga RM125.

Hasrat Thoo Fatt ditunaikan anak-anaknya apabila dia meninggal dunia pada 1999.

Lima tahun kemudian, isterinya pula meninggal dunia dan dikebumikan bersebelahan dengan kuburnya.

Bagaimanapun, anak lelakinya, Peter Kok Peet Teck yang berusia 65 tahun kini dilema apabila baki dua lot tanah yang dikhaskan untuk keluarganya telah diceroboh.

“Salah seorang daripada ibu saudara saya menziarahi kubur keluarga kami pada 2014 dan dia terkejut apabila mendapati terdapat dua individu tidak dikenali dikebumikan di plot tanah kami,” kata Peter.

“Saya pergi ke DBKL untuk periksa bagaimana perkara ini boleh berlaku, memandangkan saya mempunyai semua rekod pembelian.

“Sehingga kini, kami tidak menerima sebarang maklum balas rasmi daripada DBKL,” katanya.

Bagaimanapun pada Januari lalu, Peter mendapatkan bantuan Biro Undang-Undang MCA.

Peter berkata, dia kemudiannya menerima panggilan daripada DBKL pada Februari dan ditanyakan bagaimana dia mahu perkara tersebut diselesaikan.

“Saya beritahu pegawai terbabit yang saya mahu dua kubur baru itu ditempatkan semula. Saya tidak boleh kompromi mengenai perkara ini kerana perlu menghormati hasrat bapa,” katanya.

Ketua biro, Ng Kian Nam berkata, DBKL bertanggungjawab untuk menyiasat aduan tersebut dan menyelesaikannya secepat mungkin.

“Kita masih belum menerima sebarang maklum balas walaupun sudah tiga bulan kami menulis surat kepada mereka,” katanya.

Beliau menambah, wakil parti yang bertanggungjawab dalam urusan membabitkan DBKL, Ng How Doo, sedang membantu Peter menyelesaikan perkara tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *