Lim Guan Eng Tak Payah Berlakon Bijak Dalam Perundangan Islam

19/04/2017 – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya menyarankan Ketua Menteri Lim Guan Eng patut merujuk Jabatan Agama Pulau Pinang berhubung peruntukkan kebenaran berkahwin di bawah umur 16 tahun dengan syarat tertentu sebelum menuduh beliau sebagai ‘desperado’ mempergunakan isu agama.

Ini kerana menurut Shabudin, Seksyen 8 dan Seksyen 18 Enakmen Keluarga Islam Negeri Pulau Pinang amat relevan dengan isu yang dibincangkan.

Beliau berkata, soalan beliau spesifik kepada Setiausaha Agung DAP itu mengenai pendirian Guan Eng tentang seksyen itu yang memperuntukan kebenaran berkahwin di bawah umur 16 tahun (umur kanak-kanak) dengan syarat tertentu.

“Jangan kata saya desperado menggunakan agama untuk selamatkan diri. Saya bercakap atas fakta, jawab cara faktalah,” bidas Shabudin.

Shabudin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Guan Eng yang menggelarkan beliau sebagai ‘desperado’ apabila mendakwa Shabudin menggunakan agama bagi menyelamatkan diri sendiri.

Dalam sidang akhbar di pejabatnya di Komtar semalam, Guan Eng menggelarkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor sebagai ‘desperado’ yang dikatakan cuba menggunakan agama bagi menyelamatkan diri sendiri.

“Beliau (Shabudin) mesti sangat terdesak untuk mengatakan bahawa gerakan yang dirancang untuk mengutuknya di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang disamakan dengan perbuatan mengecam undang-undang keluarga Islam.

“Ia adalah satu percubaan yang sangat tidak jujur ​​untuk membawa masuk agama dan menyelamatkan dirinya,” kata Guan Eng.

Tindakan kerajaan negeri itu sebagai tentangan kepada kenyataan Shabudin di Dewan Rakyat baru-baru ini berhubung isu supaya perogol dibenarkan berkahwin dengan mangsa termasuk yang di bawah umur.

Bagaimanapun, Shabudin menjelaskan bahawa enakmen yang beliau maksudkan amat relevan dengan isu yang dibincangkan.

“Guang Eng jika tidak faham, boleh bertanya kepada Jabatan Agama Islam negeri. Jangan asyik pusing-pusing dan jadikan modal politik sahaja,” katanya.

Shabudin menyifatkan Guan Eng sebagai Ketua Menteri sepatutnya lebih bijak memahami undang-undang dan peraturan hidup pelbagai masyarakat Malaysia dan tidak mengikut emosi semata-mata atau bermain politik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *