Lin Dan juarai Terbuka Malaysia tewaskan Chong Wei

PETALING JAYA: Pemain China, Lin Dan akhirnya menamatkan badi untuk memenangi Terbuka Malaysia apabila menewaskan pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei menerusi kemenangan straight set 21-19 dan 21-14.

Kemenangan itu juga menamatkan dominasi Chong Wei ke atas Lin Dan dalam tiga pertemuan sebelum ini sejak November 2015 apabila kedua-dua seteru itu bertemu.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Perpaduan di Kuching, Sarawak, Chong Wei mempamerkan permainan yang lebih kemas berbanding Lin Dan pada set pertama apabila lawannya itu membuat kesilapan di jaring dan pukulan ke belakang gelanggang.

Kelebihan itu digunakan oleh Chong Wei untuk mengumpul mata demi mata sehingga berjaya menjarakkan lima mata pada satu ketika dengan sebelum Lin Dan kembali merapatkan jurang kepada satu mata.

Namun ketika Chong Wei semakin hampir untuk menamatkan set pertama dengan kemenangan apabila selesa mendahului 19-15, Chong Wei seolah-olah hilang fokus apabila membuat beberapa kesilapan terutamanya permainan di jaring dan kesilapan membaca pukulan belakang Lin Dan.

Pemain China itu yang menduduki ranking keenam dunia tersebut, mengambil kesempatan untuk mempamerkan aksi memukau untuk mengumpul tujuh mata berturut-turut, sekali gus menamatkan set pertama dengan keputusan 21-19.

Set kedua menyaksikan Lin Dan terus menguasai permainan dengan memerangkap Chong Wei menerusi corak permainan pukulan penjuru gelanggang yang sukar dibaca oleh lawannya.

Chong Wei cuba bangkit apabila ketinggalan 17-12 dengan merapatkan jurang kepada 17-14, tetapi ternyata tumpuan Lin Dan sukar digugat apabila tenang menamatkan perlawanan dengan keputusan 21-14 dalam aksi yang berlangsung selama 55 minit.

Kemenangan terbaharu itu ke menyaksikan Lin Dan melebarkan rekod 26 kemenangan ke atas Chong Wei dalam 38 pertemuan sejak 2004.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *