Mahathir dakwa PAS jadi punca utama jika Pakatan kalah di PRU14

Keengganan PAS untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan bermakna parti Islam itu akan memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) dan Umno pada pilihan raya umum nanti.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata demikan dalam catatan terbarunya di blognya.

Beliau berkata, berdasarkan rekod PAS, parti itu tidak akan mencatat kemenangan lebih 15 kerusi daripada keseluruhan 80 kawasan yang ditandingi.

“PAS tahu mereka akan kalah di kebanyakan kerusi, tetapi mereka masih mahu bertanding kerana mempertahankan pendirian mereka, menyebabkan berlaku saingan tiga penjuru atau lebih.

“Dengan bertanding sebegini, PAS bukan saja akan kalah, tetap mengheret semua parti pembangkang bersama mereka.

“Umno akan menang kerana keretakan dalam pembangkang ,” katanya.

Beliau berkata, PAS akan “membelanjakan sejumlah wang yang banyak” untuk memberi kemenangan kepada BN dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Jadi tidaklah keterlaluan untuk dikatakan PAS dibawah kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong Najib.

“Ketegasan mereka berkaitan calon untuk kerusi yang tidak akan dimenangi bermakna PAS menyokong Najib dan Umno,” katanya.

Dr Mahathir berkata, tindakan PAS hanya memecahbelahkan Melayu dan komuniti Islam sejak penubuhannya.

Pakatan Harapan di mana Dr Mahathir selaku pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia masih berbincang dengan PAS untuk menyertai gabungan pembangkan itu sejak setahun lalu.

Bagaimanapun PAS masih berpendirian untuk tidak bekerjasama dengan DAP yang juga sebahagian parti gabungan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *