Mampukah PAS Kedah Tawan Negeri Dari BN Di PRU14 Nanti?

17/04/2017 – Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh menyatakan bahawa PAS sudah bersedia untuk mengambil alih pentadbiran Kedah daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata parti Islam itu akan meletakkan calon untuk memastikan sekurang-kurangnya PAS dapat memenangi majoriti kecil untuk tubuh kerajaan.

“Antara sebab kami mengadakan Muktamar PAS Ke-63 di Kedah tahun ini ialah untuk menonjolkan bahawa kita sudah bersedia untuk memenangi PRU14 di Kedah,” katanya.

Nik Muhammad Zawawi berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen PAS Pulau Pinang di Yayasan An-Nahdhoh di Bukit Mertajam, semalam.

Katanya, anggota PAS telah membuat pelbagai kajian terperinci di Kedah dan hasil kajian itu mendapati PAS masih mendapat sokongan yang baik di kalangan rakyat Kedah.

“Mengikut kajian yang kita buat ke atas penduduk Kedah yang berbilangan kaum, mendapati bahawa mereka masih menyokong PAS untuk tubuh kerajaan di negeri itu, jadi kami akan letakkan lebih ramai calon,” kata Nik Muhammad Zawawi.

Muktamar PAS yang dijadual berlangsung di Kota Sarang Semut, Kedah pada 27 April hingga 1 Mei ini bakal menyaksikan pemilihan barisan kepimpinan baharu untuk menghadapi PRU14.

Kali terakhir PAS memerintah Kedah ialah pada 2008 apabila berjaya memenangi 16 kerusi Dewan Undangan Negeri, manakala PKR menang empat kerusi dan DAP satu kerusi.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Fauzi Mohd Yusof menyatakan PAS juga akan bertanding lebih banyak kerusi Dun dan Parlimen di Pulau Pinang dalam PRU14.

Fauzi menyifatkan PRU akan datang tidak sama seperti PRU lepas dan PAS negeri sudah bersedia dari segala sudut termasuk menghadapi pertembungan tiga penjuru.

“Jika dalam PRU13 kita hanya bertanding enam kerusi Dun dan dua kerusi Parlimen, kali ini kita akan bertanding lebih daripada itu,” katanya.

Tambah beliau lagi, PRU14 dijangka diadakan lebih awal dan jentera pilihan raya PAS peringkat kawasan mestilah diaktifkan dan berada dalam mode bersedia manakala bilik gerakan mesti dibuka sebelum Jun 2017.

Imbas kembali pencapaian PAS sebelum ini, PAS hanya menang satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Permatang Pasir menerusi Datuk Mohd Salleh Man.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *