MB Kedah tak gentar hasrat PAS mahu tawan Kedah di PRU14

SUNGAI PETANI: Hasrat PAS mahu merampas kembali Kedah dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang bukanlah sesuatu yang mengejutkan, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau berkata ia adalah kenyataan yang lazim dikeluarkan oleh mana-mana pemimpin PAS setiap kali muktamar tahunan berlangsung, dan kebetulan pada tahun ini diadakan di Kedah.

“Kenyataan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan, saya tidak berasa gusar mengenainya kerana bagi saya ia adalah ”normal” dalam pertembungan politik,” katanya kepada pemberita selepas melawat Karnival Jom Heboh di perkarangan Amanjaya Mall, di sini, Jumaat.

Beliau mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi sebelum ini yang berkata bahawa parti itu mahu merampas kembali Kedah daripada pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Muktamar PAS ke-63 sedang berlangsung di sini bermula semalam sehingga 1 Mei, Ahmad Bashah berkata, BN akan terus melaksanakan tanggungjawab sebagai kerajaan negeri serta berusaha mengekalkan pentadbiran Kedah di bawah BN, malah berkeyakinan menang dua pertiga kerusi pada PRU ke-14 akan datang.

Pada lawatan itu, Ahmad Bashah turut menjalani uji bakat pembaca berita. Selain melawat gerai Buletin Utama, Bananana, Cerekarama, Tonton, Raudhah dan Inspirasi.– Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *