Misteri Pontianak Gendong Anak Di Sungai Petani

21/04/2017 – Pernah tak mengalami kisah seram ketika menghadiri kursus semasa bekerja? Sering kali apabila menghadiri kursus kerja untuk beberapa tempoh yang lama. Pihak pengurusan pejabat sudah menyediakan penginapan hotel atau bilik untuk pekerja.

Selalunya, pekerja tidak mempunyai pilihan dan perlu tinggal di tempat penginapan yang disediakan. Akan ada saja kisah seram yang diceritakan rakan sekerja diganggu oleh ‘sesuatu’ sewaktu tinggal di tempat penginapan.

Itulah yang dialami oleh lelaki ini apabila terpaksa menghadiri kursus kenaikan pangkat selama 3 bulan. Pada mulanya beliau agak keberatan untuk menghadiri kursus itu berikutan isteri sedang hamil tetapi memikirkan itu semua untuk masa depannya, beliau tetap menghadiri kursus itu. Sepanjang menghadiri kursus itu beberapa rakan sekerja telah diganggu oleh Pontianak gendong anak.

“Ini kisah benar yang berlaku kepada aku lebih 10 tahun dulu. Ketika itu aku dan isteri kerja di KL, rumah kami di Ampang dan sekarang kami dah pindah ke Alor Setar, Kedah. Ceritanya bermula apabila satu hari bos tunjuk surat dari HQ yang mengarahkan aku ikuti satu kursus di sebuah institusi latihan di Sungai Petani. Kursus wajib kenaikan pangkat, kalau tak hadir melepaslah aku naik pangkat.”

“Sebenarnya aku agak keberatan nak pergi kursus itu kerana kursus itu berjalan selama 3 bulan. Isteri pula ketika itu sedang mengandung 5 bulan anak pertama kami. Kalau aku pergi kursus di Sungai Petani bermakna selama 3 bulan berkursus, isteri yang sarat mengandung perlu menghadapi segalanya bersendirian di KL. Kecuali hari Jumaat dan Sabtu saja tak ada kursus, 2 hari itu kami diberi peluang balik ke rumah masing-masing.”

“Tapi selepas berunding dengan isteri, aku akhirnya terpaksa terima juga tawaran berkursus tu kerana ia adalah kursus wajib. Demi masa depan keluarga.”

“Dipendekkan cerita, walaupun berjauhan dengan keluarga, tapi kursus itu memang agak menarik. Dapat rakan-rakan baru dari seluruh Semenanjung yang sebahagiannya seperti aku, dah pun berkahwin.”

“Yang paling best, kerana ketika itu tak banyak kursus, kami peserta kursus lebih kurang 30 orang diberi bilik single room yang biasanya disediakan untuk pegawai atasan. Bilik single room yang kami dapat itu siap dengan bilik air dan sebuah freezer kecik di dalamnya. Aku dapat sebuah bilik di tingkat 4 tingkat paling atas, lot nombor 2 dari hujung. Bilik paling hujung di sebelah bilik aku kosong tak berpenghuni.”

“Yang agak pelik tentang bilik sebelah yang kosong itu, kadang-kadang macam dengar orang bersembang di dalamnya. Kadang-kadang macam bunyi orang mandi yang biasanya berlaku dalam pukul 2-3 pagi. Tapi bila aku cuba buka telinga betul-betul, bunyi-bunyi tu hilang pula. Akhirnya aku bersangka baik, ia mungkin bunyi dari bilik penghuni tingkat bawah yang bersembang atau sedang mandi.”

“Kebanyakannya memang sangat ramah, kecuali seorang yang bernama Kay yang aku tak berapa berkenan dengan perangainya. Kay berbadan besar berat badan lebih 100 kg dan berkepala botak selalu tunjuk pandai, gemar ‘mengena’ orang, suka buat bising dalam kelas dan yang paling aku benci dia suka bercakap besar. Sudahlah badan besar, cakapnya lagi besar dari badan. Semuanya berjalan seperti biasa sepanjang kursus selama 3 bulan itu. Hinggalah satu hari, kira-kira 2 minggu sebelum kursus 3 bulan itu habis, berlakulah peristiwa ini.”

“Pagi itu ketika aku turun untuk breakfast di cafe asrama, ramai kawan-kawan kelihatan duduk berkumpul membincangkan topik yang sama hantu, hantu dan hantu. Kumpulan hujung sana cakap pasal hantu, kumpulan hujung sini pun cakap pasal hantu. Semua orang lelaki dan perempuan tiba-tiba dah seperti fobia dengan hantu, topiknya cuma tentang hantu dan hantu.”

“Apa yang jadi kenapa semua orang cakap pasal hantu?”

“Laa hang tak tau ka? Ramai kawan kita malam tadi kena kacau”

“Ramai kena kacau siapa kacau depa?” tanya aku.

“Semua bilik di tingkat bawah diganggu lembaga misteri. Dia ketuk pintu bilik pukul 2.00 pagi di semua bilik tingkat bawah. Bila buka, tak dak orang pula. Setiap bilik di tingkat bawah kena gangguan itu, tak terkecuali hantu tu mengetuk dari bilik ke bilik dengan kuat. Bukan ketuk sekali tapi tiga empat kali setiap bilik.”

“Depa yang biliknya diketuk itu buka ke pintu bilik depa?”

“Bila depa buka tak dak siapa-siapa pun di luar bilik. Yang ada cuma angin kuat dan bau yang sangat busuk. Bila nak tidur, pintu diketuk lagi dan kalau buka tak ada siapa-siapa pula.”

“Ada orang nak bergurau kot!” kata aku cuba menyedap hati kawan tu.

“Nak bergurau apanya pukul 2.00 pagi. Lagi pun bila dibuka memang tak dak orang. Tapi yang paling teruk kena kacau Kay lah”

“Awat dengan Kay?” dalam hati, padan muka dia.

“Kerana tak tahan berkali-kali pintu biliknya diketuk dia naik geram dan mencabar: ‘Hoiiii kalau berani hang tunjuklah muka hodoh hang tu. Tunjuk kat aku, biar aku terajang masuk longkang!” kata Kay sambil membuka pintu bilik dengan kasar..”

“Dan apa yang Kay nampak selepas membuka pintu bilik mengikut rakan aku tu sangat menyeramkan. Seorang wanita berpakaian serba putih menggendong seorang budak kecik tanpa kepala sedang berdiri di depan pintu biliknya.”

“Wanita berambut panjang hingga ke kaki itu kata Kay mempunyai gigi yang sangat hodoh dan mata merah menyala yang menyebabkan dia menjerit histeria mengejutkan penghuni asrama lain di tingkat bawah dan tingkat dua.”

“Malam itu dan sehingga kursus habis Kay tak berani lagi tidur berseorangan dalam biliknya. Dia menumpang rakan di sebelah biliknya. Selama seminggu juga Kay diserang demam panas..”

“Malam itu ramai peserta kursus yang tak berani tidur berseorangan, mereka berkongsi bilik. Hanya beberapa orang, termasuk aku yang masih memberani kan diri tidur bersendirian dalam bilik masing-masing.”

“Mujur juga peristiwa itu berlaku di minggu-minggu terakhir sebelum kursus habis. Bayangkan jika gangguan itu berlaku di minggu pertama bagaimana nak menghadapi baki 14 minggu seterusnya?”

“Mujurlah sepanjang 3 bulan di situ aku tak pernah alami apa-apa gangguan. Mungkin kerana makhluk itu kesian dengan aku yang tak pernah kacau orang, lalu dia pun juga malas nak kacau aku.” – MissA/UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *