Muhyiddin Bakal Disaman Ahli PPBM Kerana Fitnah

21/04/2017 – Nampaknya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) saban hari dilihat semakin goyah dan mengalami krisis dalaman yang teruk walaupun parti itu tidak pernah mengakuinya. Sebaliknya masih mendabik dada mengatakan parti itu masih kukuh.

Terbaru, yang menarik perhatian apabila seorang pemimpin PPBM bakal disaman bekas ahli partinya kerana menyebarkan fitnah hingga menyebabkan mengalami kemurungan dan trauma.

Ia berikutan dakwaan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini bahawa bekas ahlinya, Mohd Anas Sudin yang mengumumkan keluar parti baru-baru sebagai seorang ahli PKR.

“Saya ingin menegaskan bahawa kenyataan Tan Sri Muhyiddin tersebut adalah fitnah dan mengaibkan nama saya secara peribadi, apatah lagi di kalangan ahli keluarga, sahabat handai dan masyarakat warga umum yang mengenali saya sehingga ada yang memanggil saya dengan gelaran kepada lalang dan tupai.”

“Saya sesungguhnya amat terkesan dengan kenyataan TS Muhyiddin tersebut dan telah mengalami trauma dan kemurungan akibat dari tohmahan dan prasangka buruk daripada rakan-rakan parti, apatah lagi masyarakat yang mengenali saya secara dekat,” kata Mohd Anas.

Namun bekas ahli PPBM itu masih memberi peluang kepada Presiden PPBM itu apabila meminta Muhyiddin untuk membuat permohonan maaf secara terbuka dalam bentuk siaran media dalam masa tujuh hari bermula hari ini, sebelum meneruskan hasrat untuk tindakan undang-undang tersebut.

“Saya menuntut Muhyiddin untuk menarik balik kenyataan tersebut, segera memohon maaf kepada saya secara bertulis sama ada siaran media umum atau bercetak dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh sidang media ini dibuat,” kata Mohd Anas.

Apa pun persoalannya, adakah bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan buat seperti yang diminta ahli bekas PPBM itu? Ataupun beliau akan hadap saja tindakan undang-undang dari pihak tersebut?

Terdahulu, Mohd Anas adalah seorang daripada 500 orang bekas ahli PPBM bahagian Rembau yang mengumumkan keluar parti berikutan amalan kronisme yang berlaku dalam parti tersebut.

Bagaimanapun, Muhyiddin dengan lantang mengulas tindakan Mohd Anas yang juga bekas Ketua Aktivis PPBM Negeri Sembilan itu dengan dakwaan bahawa Mohd Anas merupakan seorang ahli PKR.

Dalam pada itu, Mohd Anas turut mempertikaikan kredibiliti Muhyiddin sebagai seorang pemimpin yang disebut-sebut sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia pada masa akan datang.

“Tindakan tergesa-gesa Muhyiddin untuk membuat keputusan tanpa membuat sebarang siasatan berhubung keahliannya, bakal meletakkan negara dalam keadaan bahaya sekiranya Muhyiddin menjadi Perdana Menteri malaysia,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *