Nak Isteri Taat Dan Hormati, Tapi Menzalimi Mereka. Layakkah Penzalim Dihormati?

19/04/2017 – Setiap pasangan suami isteri pasti akan mengimpikan satu kehidupan yang bahagia dan harmoni. Setiap suami juga pasti mengidamkan seorang wanita solehah yang merupakan sebaik-baik kenikmatan dunia.

Namun begitu, apa yang sering dicanangkan adalah peranan isteri untuk membentuk keluarga yang harmoni, bagaimana isteri patut taat kepada suami, apakah balasan bagi isteri yang derhaka, apakah balasan terhadap isteri yang menolak pelawaan suami untuk bersetubuh dan tugas-tugas isteri untuk membahagiakan suami.

Hanya sekali-sekala diketengahkan perbahasan tentang apa yang suami perlu lakukan untuk membina sebuah keluarga yang dihiasi dengan perasaan cinta dan kasih-sayang. Tetapi, suami sendiri tanpa sedar menzalami isteri mereka. Layakkah seorang penzalim untuk dihormati oleh isteri?

Satu perkara yang paling banyak saya dapati di sini ialah cerita pasal sikap suami yang sangatlah mengecewakan seperti kaki pukul, kaki maki hamun, suka menghina, culas memberi nafkah, bergantung kewangan pada isteri, menagih dadah / ketum dan buat maksiat dengan perempuan lain (saya tidak istilahkan sebagai curang, kerana ia tiada dalam syariat Islam. Yang ada pensyariatannya hanya maksiat)

Sudahlah bersikap tidak elok sebagai seorang ketua keluarga. Semua hal rumah tangga diserahkan sepenuhnya pada isteri, dia cuma goyang kaki bila di rumah.

Saya seorang lelaki, juga seorang suami dan bapa. Saya amatlah kecewa, teramat sangat kecewa dengan sikap-sikap kaum saya yang seperti ini. Saya nak tanya kamu wahai lelaki yang berkenaan, kenapa kamu sanggup buat semua itu? Tak tahukah kamu semua itu perbuatan haram, dosa yang membawa kepada neraka?

Kenapa wahai lelaki? Apakah tiada iman lagi dalam hati kamu? Apa sebenarnya yang kamu kehendaki dalam rumahtangga? Kamu nak isteri taat dan hormati kamu, tapi kamu menzalimi mereka. Layakkah penzalim dihormati?

Kamu nak isteri jaga kamu dan anak-anak dengan baik, tapi kamu cuma tahu mengarah dan lepas tangan, mengharap isteri buat semua. Kamu ingat isteri tu mesin robot yang boleh diprogramkan dan tak pandai penat?

Kamu nakkan kehidupan seperti syurga, tapi kamu bina neraka dengan sikap kamu. Apakah syurga boleh wujud dengan binaan-binaan neraka? Kamu lelaki yang tak sedar diri, tak tahu malu, tak takut allah, perasan bagus, perasan maksum.

Sudah-sudahlah wahai lelaki. Allah amanahkan kamu untuk menjadi pelindung, pemimpin, pembela dan penaung kepada isteri dan keluarga. Kerana hanya kamu yang mampu melakukannya. Tolonglah pegang dan angkat amanah Allah itu dengan bertanggungjawab. – MissA/UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *