Orang Bukan Islam Mahu Mahfuz Omar Bertaubat Dan Terus Setia Bersama PAS

ALOR SETAR – Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) mahu Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar ‘bertaubat’ dan terus setia kepada parti.

Harapan itu dibangkitkan wakil DHPP, Suria Narayanan yang merujuk kepada siri kritikan secara terbuka yang dibuat Mahfuz berkaitan perjalanan PAS.

Ia sekali gus dapat memberi peluang kepada Mahfuz, yang juga bekas naib presiden, kekal mewakil PAS di kerusi Parlimen Pokok Sena pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita juga mendoakan abang Pokok Sena (Mahfuz) supaya bertaubat. Selepas ini tidak payah kita beri kerusi kepada sahabat kita yang lain, kita bagi balik kepada abang kita (Mahfuz),” katanya merujuk kepada desakan segelintir pihak supaya Mahuz tidak dicalonkan pada pilihan raya akan datang.

Suria berkata demikian ketika membahaskan ucapatama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada hari kedua muktamar hari ini.

Sementara itu, perwakilan PAS dari Sarawak, Hamdan Sani meletakkan harapan besar kepada kepimpinan parti supaya memilih calon Bumi Kenyalang untuk bertanding di kerusi boleh menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Malah, beliau sempat menawarkan diri untuk bertanding di kerusi Pokok Sena dalam nada gurauan.

Mahfuz baru-baru ini menegur Hadi berhubung isu pembentangan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, PAS Kedah sudah menghantar aduan membabitkan Mahfuz kepada pucuk pimpinan pusat.

Mengulas lanjut, Suria berkata, musuh sebenar PAS adalah Umno dan Barisan Nasional (BN) bukannya pihak lain yang didakwa merujuk kepada bekas pemimpin parti Islam itu yang menubuhkan Amanah.

“Musuh kita adalah Umno, musuh kita adalah Umno dan BN, kita berperang dengan Umno bukan dengan sahabat kita yang lain,” katanya.

Suria juga berharap bekas pemimpin PAS yang menyertai Amanah akan kembali kepada PAS.

“Dulu mereka bersama kita ceramah sekali sepentas bersama, tapi hari ini mereka hentam kita balik, saya sungguh malu.

“Abang saya di Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, tapi akhirnya dia sudah termakan umpan yang silap. Jadi dia sudah dicekup oleh pihak tertentu, saya sayang dia sebab dia bagus, saya yakin tuhan akan bagi dia kesedaran dan akan kembali dalam PAS bersama pemimpin yang keluar PAS,” katanya. – fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *