Orang Melayu-Islam Dipinggirkan Ketika Tun Mahathir Menjadi Perdana Menteri

SHAH ALAM – PAS mengingatkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya sedar diri bahawa beliau yang menjadi punca utama perpecahan Melayu-Islam di negara ini.

Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamad berkata sejarah menunjukkan bagaimana Dr Mahathir gagal untuk mengutamakan perpaduan kaum Melayu-Islam sehingga menyebabkan kaum berkenaan berpecah secara politik.

Lebih malang, tegas Mahfodz, kesannya boleh dilihat sehingga ke hari ini, apabila Dr Mahathir sendiri mewujudkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selepas kecewa dengan Umno.

“Dr Mahathir sejak dari dahulu memusuhi PAS. Semasa beliau berkuasa, bukan beliau hendak tolong orang Melayu-Islam. Orang Melayu tidak berjaya pun kerana beliau sendiri tidak menaikkan kaum ini. Malah persempadanan Melayu pun berkurangan kononnya hendak dapatkan undi dari kaum Cina. Akhirnya makan tuan, apabila kaum Cina tidak sokong Umno

“Umno, kerana Dr Mahathirlah berpecah kepada Semangat 46. Kerana beliau jugalah Umno berpecah dan tertubuhnya PKR. Dan kerana Dr Mahathirlah Umno juga berpecah dan menubuhkan PPBM. Yang memecahbelahkan Melayu-Islam adalah Dr Mahathir,” bidas Mahfodz terhadap Dr Mahathir.

Mahfodz berkata demikian terhadap dakwaan Dr Mahathir bahawa PAS menyebabkan perpecahan di kalangan kaum Melayu dan Islam dan menyebabkan kaum itu kehilangan kuasa dan pengaruh politik.

Pengerusi PPBM itu juga menyalahkan keengganan PAS bekerjasama dengan pembangkang, memberikan kemenangan percuma kepada Umno-Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Malah sasaran PAS untuk bertanding di 80 kerusi parlimen juga dipandang sinis oleh Dr Mahathir, sambil mendakwa parti itu hanya berjaya menang sebanyak 15 kerusi sahaja.

Dipercayai tulisan Dr Mahathir di blognya, CheDet itu, sebagai ‘membalas’ pilihan yang dikemukakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada baru-baru ini, supaya mana-mana parti yang ingin mentadbir negara memilih sama ada untuk bekerjasama dengan PAS atau Umno.

Hadi percaya kuasa dan pengaruh politik Melayu hanya terdapat di antara dua parti tersebut sahaja.

Lebih lanjut, Mahfodz menyelar tindakan Dr Mahathir yang memperkatakan ‘budaya mengkafir’ orang Melayu yang tidak menyertai PAS, satu amalan yang didakwa berlaku di kalangan ahli-ahli PAS dan Umno suatu ketika dahulu.

“Tidak payah ungkit perkara lama, kerana dahulu Umno pun teruk ketika di bawah Dr Mahathir. Sentiasa memusuhi Islam berhabis-habisan. Ramai yang ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dan yang menjadi mangsa adalah orang PAS.

“Namun hari ini orang Melayu sudah mula hendak bersatu, contohnya dalam isu Rohingya. Mereka bersatu walaupun tidak dalam politik” tegasnya.

Dr Mahathir sebelum ini kerap melontarkan pandangan kritikalnya terhadap PAS, terutama dalam usaha mengajak PAS menyertai Pakatan Harapan (PH) dalam mendepan PRU14.

Bagaimanapun sikap degil PAS yang tidak mahu bekerjasama dengan DAP dan Amanah, akhirnya menyebabkan Dr Mahathir memuktamadkan penyertaan PPBM ke dalam PH, meskipun rundingan di antara PAS dan PPBM masih lagi berlangsung. – ap

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *