Parti Bunga Tak Mengaku Ada Pilih Kasih Didalam Parti

SHAH ALAM – Parti Bersatu menafikan dakwaan salah seorang bekas pengasas parti tersebut, Kamarul Azman Habibur Rahman yang mengatakan wujudnya amalan pilih kasih dalam pelantikan Ketua-Ketua Penaja Bahagian Bersatu yang menyebabkannya meninggalkan parti.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh berkata, Bersatu pelantikan dibuat secara rundingan dengan pelbagai pihak yang terlibat dalam menggerakkan parti di peringkat akar umbi berlandaskan prinsip musyawarah.

Menurutnya, ini memandangkan terdapat ramai pihak yang berminat dan bersedia untuk menerajui pimpinan di peringkat bahagian parti di seluruh negara dan kata sepakat perlu dicapai sebelum pelantikan dibuat.

“Pucuk pimpinan telah sedaya upaya melakukan yang terbaik dalam pelantikan Ketua-Ketua Penaja Bahagian dengan mengambil kira faktor sumbangan seseorang calon yang hendak dilantik, pengalaman, bakat kepimpinan dan penerimaan oleh masyarakat setempat.

“Setakat ini sebahagian besar ketua penaja bahagian parti telah dilantik dan hanya beberapa bahagian sahaja yang memerlukan rundingan lanjut dengan beberapa pihak di akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Kamarul Azman yang pernah menyandang Pengerusi Perhubungan Bersatu Negeri Sembilan dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Bersatu mengumumkan peletakan semua jawatannya dalam parti kerana kabur dengan perjuangan Bersatu.

Shahruddin berkata, Kamarul Azman sendiri telah dilantik sebagai ketua penaja parti Bahagian Teluk Kemang setelah rundingan lanjut dibuat dengan pelbagai pihak di akar umbi.

“Pelantikan tersebut dibuat setelah pucuk pimpinan mengambil kira faktor sumbangan beliau kepada parti dan penerimaan oleh ahli-ahli parti.

“Bagaimanapun, saya bagi pihak pimpinan tertinggi parti merakamkan ucapan jutaan terima kasih di atas segala sumbangan dan pengorbanan beliau (Kamarul Azman) selama ini serta mendoakan yang terbaik untuk beliau bagi masa hadapan,” katanya. – sh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *