Parti Cap Bunga Tak Payah Mimpi Nak Tawan Parlimen Kepala Batas

20/04/2017 – Berhubungan kenyataan Pengerusi PPBM Pulau Pinang, Marzuki Yahaya yang mengatakan parti itu akan tawan 3 kerusi Parlimen di negeri itu termasuk Kepala Batas, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas Datuk Roslan Saidin menyifatkan Marzuki sengaja tidak mahu menerima hakikat sebenar kekuatan UMNO di Kepala Batas.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Pinang Tunggal itu berkata, beliau berpandangan Marzuki tidak mengetahui senario sebenar politik di Kepala Batas atau beliau sengaja tidak mahu menerima hakikat sebenar kekuatan UMNO di Kepala Batas.

“Sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, saya terpanggil untuk memberi maklum balas terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi PPBM Pulau Pinang tersebut.

“Saya berpandangan Sdr Haji Marzuki tidak mengetahui senario sebenar politik di Kepala Batas atau dia sengaja tidak mahu menerima hakikat sebenar kekuatan UMNO di Kepala Batas,” katanya.

Beliau juga berkata, pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan dan segala aktiviti parti-parti pembangkang termasuk PPBM di kawasan Parlimen Kepala Batas.

Sehubungan itu, Roslan menegaskan bahawa UMNO Kepala Batas tidak sama sekali bimbang dengan kewujudan PPBM di Kepala Batas.

“Kita sentiasa ambil maklum pergerakan parti-parti pembangkang dalam kawasan,” katanya lagi.

Tambah beliau, PPBM Kepala Batas adalah satu di antara 3 bahagian PPBM di Pulau Pinang dan di antara puluhan Bahagian-bahagian PPBM di seluruh negara yang menghadapi masalah dalam pelantikan Ketua Penaja Bahagian kerana ketiadaan calon yang berwibawa untuk dilantik atau masalah jumlah keahlian yang kecil.

“Malahan kita juga maklum pelantikan Ketua Penaja PPBM Kepala Batas hanya dapat dibuat pada 31 Mac 2017 lalu setelah segala usaha untuk memujuk bekas-bekas pemimpin UMNO Kepala Batas untuk menyertai PPBM gagal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menasihati Marzuki agar terlebih dahulu mendapatkan persetujuan parti-parti utama dalam Pakatan Harapan (DAP dan PKR), kerusi manakah yang akan diberikan PPBM untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

“Selesai dahulu masalah pembahagian kerusi dengan sekutu politik PPBM sebelum memasang angan-angan nak bertanding dalam Pilihanraya Umum akan datang,” katanya lagi.

Terdahulu, Marzuki menyatakan bahawa PPBM sedia untuk berdepan dengan UMNO, di ketiga-tiga kerusi berkenaan (Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Balik Pulau) yang disifatkan sebagai “nyawa-nyawa ikan” di negeri itu.

Malah beliau mendakwa terdapat 31 kerusi Parlimen termasuk di Kepala Batas dan Tasek Gelugor, di mana kedudukan UMNO berada dalam “ancaman” kononnya kerana parti itu menang dengan majoriti tipis pada pilihan raya umum lalu.

“UMNO juga bimbang dengan satu lagi kerusi, Balik Pulau, yang kini dipegang oleh Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, kerana parti kita mula menembusi kawasan itu.

“Adalah jelas UMNO kini berada pada kedudukan paling lemah dan sekiranya pilihan raya diadakan sekarang, mereka akan menghadapi masalah,” kata Marzuki.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *