Parti Ezam Kotak Nafi Buka Ibupejabat Di Kedai Jubin

20/04/2017 – Parti Bebas Rasuah (PBR) yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin UMNO Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas senator Datuk Ezam Mohd Nor menafikan telah membuka ibupejabat di sebuah kedai jubin.

Setiausaha Agung Parti Generasi Baru (Newgenparty) S Gobi Krisnan hari ini cuba mempertahankan alamat premis parti itu bukan milik sebuah kedai Jubin seperti kenyataan rasmi Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) semalam.

S Gobi Krisnan cuba menegaskan premis parti yang ditubuhkan sejak 2013 itu memang wujud dengan alamat yang dirujuk sebagaimana didaftarkan dengan ROS.

“Kemungkinan salah faham wujud kerana alat yang didaftarkan adalah di tingkat 2 manakala yang disebut media sebagai Kedai Jubin adalah kedai yang beroperasi di tingkat bawah premis kami.

“Nombor unit juga betul 260 dan satu deretan premis berkenaan mempunyai lebih kurang 10 pintu memang mempunyai nombor unit yang sama iaitu 260,” katanya.

Belia berkata demikian bagi menjawab kenyataan Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohamad Razin Ahdullah semalam, di petik berkata, ROS sedang menyiasat permohonan Parti Generasi Baru untuk menukar nama kepada Parti Bebas Rasuah (PBR) berikutan terdapat beberapa dokumen permohonan itu yang menimbulkan keraguan.

Menurut Mohammad Razin, antaranya termasuk alamat ibu pejabat parti itu yang didakwa lokasi berlangsungnya Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk menukar nama dan pemilihan kepimpinan parti adalah milik sebuah kedai jubin.

Beliau juga berkata, maklumat dua daripada 12 Ahli Jawatankuasa (AJK) yang dinyatakan dalam EGM berkenaan juga tidak benar berdasarkan nombor kad pengenalan mereka.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai AJK itu, S Gobi Krishnan mendakwa pihaknya telah menyemak dua identiti yang meragukan itu tetapi katanya tidak ada sebarang keraguan.

“Telah disahkan mereka AJK berdaftar parti wujud dan hadir pada Mesyuarat Agung Khas (EGM) tersebut. Kesemua 12 AJK berdaftar ini sedia hadir ke ibupejabat ROS untuk mengesahkan perkara ini,” katanya.

S Gobi Krisnan, berkata beliau sudahpun pergi ke ROS di Putrajaya semalam untuk bertemu dengan Mohammad Razin tetapi dimaklumkan Mohammad Razin tiada dipejabat setelah beberapa kali untuk membuat temujanji sebelum ini gagal sehingga ROS mengeluarkan kenyataan rasminya semalam.

Mohammad Razin dalam kenyataannya juga berkata, pihaknya akan memanggil saksi berkaitan termasuk AJK yang menghadiri EGM itu untuk memberi keterangan dan jika didapati parti itu memberi maklumat palsu, mereka akan berdepan tindakan termasuk pembatalan parti.

“Selagi permohonan untuk menukar nama parti itu tidak diluluskan ROS, nama PBR dan logonya tidak boleh digunakan,” kata Mohammad Razin.

Difahamkan, S Gobi Krishnan sebelum ini menghantar permohonan untuk menukar nama parti itu kepada PBR, serta meminda logo, selain mengemukakan senarai kepimpinan baharu parti termasuk Datuk Mohd Ezam Mohd Nor sebagai Presiden dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan sebagai timbalannya.

Bagaimanapun, Presiden asal parti itu, Datuk G Kumar mendakwa perkara itu berlaku tanpa pengetahuannya kerana tiada sebarang mesyuarat atau notis dibuat, selain tidak mendapat persetujuan lebih 300 ahli.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *