Parti Gerakan Akan Lindungi Media Dari Kezaliman Regim DAP Pulau Pinang

19/04/2017 – Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng menyatakan bahawa parti Gerakan menawarkan khidmat guaman kepada mana-mana organisasi media yang menjadi mangsa ugutan undang-undang oleh parti rasis dan cauvinis DAP.

Ini kerana kata Teck Meng, sejak beberapa tahun kebelakangan parti yang di bawah pimpinan pemimpin veteran Lim Kit Siang sering menyaman media sebagai taktik untuk tidak menjawab persoalan yang dibangkitkan.

Beliau berkata berdiri di atas alasan untuk membuktikan kebenaran, DAP menutup semua kritikan dengan tindakan undang-undang berterusan.

“Saya juga ingin menghantar mesej jelas kepada Lim Guan Eng dan pimpinan DAP yang lain bahawa bukan DAP sahaja mempunyai peguam, Gerakan juga memiliki banyak pemimpin serta ahli yang juga peguam,” kata Teck Meng.

Sehubungan itu, ahli Parlimen Simpang Renggam itu juga menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang itu supaya lebih terbuka dan telus dalam menghadapi setiap pendedahan mahupun bukti yang dikemukakan berkaitan kelemahan kerajaan negeri pimpinan DAP.

Justeru, beliau menyifatkan Guan Eng perlu menghentikan tindakannya mengugut mengambil tindakan undang-undang terhadap organisasi media yang melaporkan kelemahan tadbir urus kerajaan negeri pimpinannya kerana itu adalah proses pendemokrasian politik.

Menurut Teck Men, Setiausaha Agung DAP itu atau sesiapa sahaja pemimpin DAP sepatutnya lebih terbuka dalam berhadapan isu berbangkit dengan tampil memberi penjelasan terhadap laporan atau dakwaan dikemukakan oleh pihak tertentu yang disiarkan dalam media, dan bukannya mengugut untuk menyaman mereka.

Teck Meng menegaskan bahawa amalan ini tidak sihat dan seharusnya dihentikan segera.

“Kalau tidak boleh jawab mengapa pilih cara ini (saman) bagi tutup mulut media, seolah-olah cuba untuk menakut-nakutkan media,” katanya.

Tambah beliau, isu dibangkitkannya adalah susulan daripada tindakan Guan Eng menuntut sebuah akhbar berbahasa Inggeris menarik balik berita yang disiarkan berkenaan sidang akhbarnya pada Januari lalu berhubung isu lebihan bajet kerajaan negeri Pulau Pinang.

Dalam sidang akhbar tersebut, Teck Meng telah memetik laporan Ketua Audit Negara mengenai Pulau Pinang yang menjelaskan bahawa kerajaan negeri itu mencatatkan lebihan bajet adalah hasil aktiviti penjualan tanah dan aset negeri.

Namun menurut beliau, Guan Eng beberapa hari selepas laporan berita itu disiarkan, kemudiannya tampil mengeluarkan kenyataan dengan menggelarkan dirinya sebagai ‘tidak pintar’, gagal memahami akaun dan Laporan Audit Negara mengenai Pulau Pinang.

Selanjutnya, pada 16 Februari, tanpa memberikan sebarang jawapan, Guan Eng sebaliknya telah mengeluarkan surat tuntutan kepada beliau dan akhbar berbahasa Inggeris itu supaya menarik balik laporan berita yang disiarkan dengan mendakwa ia adalah fitnah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *