PAS Bukan Berpolitik Untuk Jatuhkan UMNO

19/04/2017 – Politik PAS bukan sahaja mahu menjatuhkan UMNO tetapi memberi penyelesaian kepada semua permasalahan menurut cara Islam, kata Ketua Penerangan PAS Terengganu, Mohd Nor Hamzah.

Ketua Penerangan PAS Terengganu itu berkata, prinsip ini tidak berubah kerana prinsip Islam itu mesti menjadi tunjang PAS.

“Politik PAS bukan sahaja untuk melawan UMNO tetapi PAS mengajak manusia kepada Islam supaya mengikuti segala suruhan Allah,” katanya.

Mohd Nor Hamzah berkata demikian kepada komuniti Islam dan masyarakat Malaysia Doha, disiarkan secara langsung melalui Harap TV semalam.

Dalam pada itu, ADUN Bukit Payong itu juga berkata amalan politik damai dan diplomasi PAS untuk Islam, membolehkan PAS berunding dengan sesiapa sahaja termasuk kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam usaha untuk melaksanakan Islam di Malaysia.

Namun, katanya usaha itu dicemburui oleh musuh-musuh PAS sehingga mereka ‘melencongkan’ pemikiran orang ramai dengan fitnah yang mengatakan bahawa PAS mahu bergabung dengan parti tersebut.

“Politik damai dan diplomasi serta perundingan PAS sehingga membuka pemikiran masyarakat, kita berunding dengan kerajaan BN membolehkan RUU355 dibentangkan di parlimen oleh Presiden PAS baru-baru ini.

“Tetapi dipusing kerana cemburu, sehingga membentuk persepsi yang ditanam bahawa PAS mahu bergabung dengan BN telah menjadi musuh PAS sekian lama,” katanya.

Beliau juga menyatakan parti Islam itu tidak menggunakan kaedah fitnah tetapi membawa sesuatu dengah hujah untuk menonjolkan dirinya.

Turut bersama beliau dalam dialog itu ialah Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dr Khairuddin Aman Razali yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *