PAS Dianggap Tak Mungkin Mampu Rampas Kedah Dari BN

21/04/2017 – Walaupun baru-baru ini Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh mengeluarkan kenyataan bahawa PAS kini sudah bersedia untuk mengambil alih pentadbiran Kedah daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), namun angan-angan parti Islam itu dianggap tidak mungkin tercapai.

“Walaupun PAS dikatakan berada dalam keadaan paling bersatu, tetapi parti itu tetap berdepan pelbagai cabaran getir untuk menakluk semula Kedah,” kata laporan Kwong Wah Daily.

Mungkin parti Islam itu lupa kekuatan BN di negeri itu. Jika dilihat dalam Pilihan Raya 2013, BN memperoleh 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah berbanding 15 kerusi yang dimenangi pembangkang sekali gus boleh menafikan kuasa PAS untuk terus memerintah Kedah.

Dalam kalangan pembangkang Kedah, PAS memenangi sembilan kerusi, PKR(empat)dan DAP (dua) dalam Pilihan Raya 2013.

Mungkin angan-angan PAS ini ingin mengulangi kemenangan pada pilihan raya pada 2008. Prestasi parti itu pada pada 2013 adalah kurang memberangsangkan berbanding 2008, di mana PAS mencapai kejayaan untuk memerintah walaupun berjuang secara solo.

Namun begitu, PAS harus ingat perpecahan yang melanda PAS sebelum ini dan kemunculan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang didakwa mendapat sokongan pengundi luar bandar merupakan antara halangan yang dihadapi PAS jika mahu memerintah semula Kedah.

“PAS menyasarkan 24 DUN dan lapan kerusi Parlimen dalam pilihan raya akan datang, sesuatu yang sukar untuk dicapai.

“DAP, PKR, PAN dan PPBM daripada Pakatan Harapan melihat Kedah sebagai medan tempur yang utama, PPBM yang membawa nama Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir merupakan pengaruh baharu yang tidak boleh dipandang ringan,” demikian lapor Kwong Wah Daily.

Untuk rekod pentadbiran PAS semasa ia memerintah Kedah dari 2008 hingga 2013, banyak menimbulkan tidak puas hati rakyat.

“Seingat saya, tong sampah di bawah rumah pangsa dipenuhi longgokan sampah dan bau busuk sampah juga memenuhi kawasan kediaman rumah berteres.

“Dalam keadaan terdesak, penduduk terpaksa menghantar sendiri sampah ke tong sampah besar,” kata seorang penulis Oriental Daily.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *