Pembantu Penguatkuasa KPDNKK tak mengaku salah terima rasuah.

ALOR SETAR – Seorang pembantu penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah, tiga tahun lalu.

Norzaishafril Shaffie, 37, membuat pengakuan itu dan meminta untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zanol Rashid Hussain.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas di KPDNKK Kubang Pasu, didakwa menerima suapan wang tunai RM200 daripada Zafizah Zakaria, 40, di sebuah gudang minyak diesel di Kampung Remia Manis, Padang Terap pukul 4.32 petang, 24 September 2014.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), A. Hafiizh Abu Bakar menawarkan jaminan RM10,000. Bagaimanapun, tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu agar jumlah itu dikurangkan.

Norzaishafril memberi alasan bahawa wang simpanan yang ada tidak sampai RM2,000 malah ia perlu digunakan untuk perbelanjaan rawatan anaknya yang menghidap penyakit Glaucoma dan orang kurang upaya (OKU).

“Isteri saya juga tidak bekerja dan perlu membawa anak kami ke Kuala Lumpur setiap bulan untuk mendapatkan rawatan,” katanya yang mempunyai dua anak.

Hakim kemudian menetapkan wang jaminan RM4,000 dan menetapkan 27 April ini sebagai tarikh sebutan kes. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *