Pemimpin Al Qaeda mahu pemberontak Syria lancar perang gerila

DAMSYIK: Pemimpin al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri, menggesa pemberontak Syria melancarkan perang gerila terhadap musuh mereka daripada Presiden Bashar al-Assad dan sekutu yang disokong Iran hinggalah kepada kuasa Barat.

Dalam rakaman audio yang disiarkan atas talian semalam, Zawahiri mendesak pemberontak supaya bersabar, berkata mereka perlu bersedia untuk pertempuran panjang dengan pasukan tentera diketuai Barat di Iraq dan Syria serta golongan Syiah dibantu Iran yang menyokong kerajaan al-Assad.

“Anggota kami di Syria, sediakan diri untuk pertempuran lama dengan tentera salib dan sekutu mereka, Syiah dan Alawi,” kata pengganti kepada Osama bin Laden itu.

Zawahiri berkata, pemberontak menjadi sasaran musuh kerana mahu menegakkan pemerintahan Islam di Syria.

“Barat dan sekutunya melakukan apa saja bagi menghalang gelombang Islam yang melanda rantau itu,” katanya.

Zawahiri, di dalam rakaman berkenaan juga menegaskan jihad di Syria, sudah dilancarkan bukan saja oleh rakyat negara itu tetapi semua umat Islam.

Beliau juga menggesa pemberontak tidak menjadikan konflik itu sebagai masalah dalaman Syria semata-mata. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *