Pemimpin Parti Bunga Lebih Berminat Dengan Jawatan Dari Berkhidmat Untuk Rakyat

PETALING JAYA – Seorang lagi pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyuarakan kebimbangannya dengan masa depan parti itu susulan dakwaan pemimpin lebih berminat dengan jawatan daripada berkhidmat untuk rakyat.

Tariq Ismail yang menganggotai Majlis Tertinggi PPBM berkata apa yang diluahkan oleh Kamarulazman Habibur Rahman semalam ketika mengumumkan peletakan jawatannya daripada parti perlu diambil perhatian oleh pimpinan.

“Saya harap parti bangun dan sedar, dan membebaskan minda Melayu daripada penyakit gila kuasa yang menimpa mereka,” katanya kepada FMT, sambil menyifatkan golongan yang gila jawatan dalam PPBM hanyalah “kucing kurap” ketika dalam Umno dulu.

“Saya mahu mengingatkan ahli parti dan ketua bahagian supaya berkhidmat untuk rakyat, bukan untuk cita-cita remeh mereka,” kata Tariq, yang merupakan cucu bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman.

Teguran Tariq itu menunjukkan sokongan pemimpin PPBM terhadap Kamarulazman, antara orang yang mengasaskan parti yang rata-rata dianggotai bekas ahli Umno itu.

Semalam, pemimpin teras PPBM, Anina Saadudin menyifatkan tindakan Kamarulazman keluar parti sebagai “kehilangan besar”.

“Mungkin tidak bagi orang lain. Saya kenal beliau lebih dari yang lain. Saya tahu semangat perjuangannya lebih dari yang lain,” kata Anina sambil menyelar mereka yang mengkritik Kamarulazman.
Sementara Naib Presiden Datuk Hamidah Osman berkata tindakan Kamarulazman perlu diambil serius.

“Muhyiddin selaku presiden kena melihat perkara ini dan tidak boleh terus berdiam diri. Jangan terus menganggap perkara ini kecil dan mengatakan tidak mengapa dan menuduh orang itu ini tinggalkan parti sebab dia kecewa, sebab akhirnya parti menerima akibat,” katanya kepada FMT.

Ada kesan

Kamarulazman merupakan antara pengkritik awal Datuk Seri Najib Razak di bawah Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) ketika Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin masih berada dalam Umno.

Semalam, beliau berkata pemimpin PPBM lebih berminat dengan jawatan perdana menteri.

“Saya bimbang melihat bagaimana jawatan perdana menteri itu sangat penting bagi sesetengah pihak sedangkan saya lebih berminat membela nasib rakyat.”

Kamarulazman turut mengkritik kepimpinan Muhyiddin.

“Saya dapati bahawa sifat-sifat buruk mula dibenarkan masuk melalui pintu utama PPBM. Ramai di kalangan mereka yang menghabiskan masa untuk berasa bersama pemimpin dan lebih suka memburukkan penggerak yang membuat kerja.”

Menurutnya, idea yang dilontarkannya demi kepentingan parti tidak diendahkan.

“Apabila saya bercakap benar, ada yang berasa tersinggung dengan apa yang saya utarakan. Ini termasuklah presiden dan timbalan presiden.”

Bagaimanapun, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Kamarulazman mungkin kecewa.

“Kroni dia tak pilih dia kot,” katanya tanpa menjelaskan lanjut malam tadi.

Tariq tidak menolak partinya akan menerima kesan daripada tindakan Kamarulazman sekiranya “sifat negatif” daripada bekas pemimpin Umno dibenarkan menular dalam PPBM.

“Secara realistiknya, apabila kita menubuhkan PPBM, kita memang menjangkakan akan ada ahli yang mendakwa meninggalkan Umno tetapi mahu merosakkan rancangan kita.

“Ini ditambah dengan budaya tamak Umno demi kuasa, wang dan pangkat yang menyebabkan Cikgu keluar,” katanya merujuk Kamarulazman. – fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *