Penduduk Kampung Kejar Pencuri Buah Sawit Sejauh 12km

BATU PAHAT – Dua lelaki dikejar sejauh 12 kilometer (km) oleh penduduk kampung ketika cuba melarikan 29 tandan buah sawit dari sebuah kebun di Kampung Olak Batu, Ayer Hitam, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam, kedua-dua suspek berusia 29 tahun itu ditahan di pekan Ayer Hitam oleh anggota polis trafik yang kebetulan melakukan tugas rondaan, dengan bantuan orang awam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata kedua-dua suspek yang menyembunyikan sawit dalam sebuah kereta PROTON Iswara terkejut apabila perbuatan mereka disedari pemilik kebun dan orang kampung sebelum mereka melarikan diri dengan kereta itu.

“Tindakan dua pencuri itu memecut kereta disedari anggota polis trafik yang membuat rondaan menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD) sebelum memintas suspek.

“Pemilik kebun dan orang ramai yang turut mengejar suspek memaklumkan kepada anggota polis mengenai tindakan dua suspek mencuri serta melarikan diri.

“Pemeriksaan mendapati kereta berkenaan diisi 29 tandan sawit di tempat duduk belakang serta but. Kedua-dua suspek ditahan di lokasi kejadian.

“Polis turut merampas PROTON Iswara dinaiki suspek bersama 29 tandan sawit yang cuba dilarikan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abdul Wahib berkata, siasatan awal mendapati seorang daripada suspek berasal dari Simpang Renggam, Kluang manakala seorang lagi dari Ayer Hitam. – bh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *