Penduduk Terpaksa Pertaruh Nyawa Gunakan Jalan Mini Tar Yang Sudah Empat Tahun Rosak

YAN – Penduduk di Kampung Dulang Besar terpaksa menggunakan jalan mini tar yang rosak apabila sebahagian daripada jalan tersebut tidak diturap dan hanya diliputi batu.

Pengerusi MCA Taman Yan, Loh Miee Fook berkata, jalan dari Kampung Dulang Besar itu merupakan laluan utama ke Kampung Padang Makau, ke sekolah, hospital dan sebagainya.

“Sepatutnya ia diturap dengan baik bagi memastikan keselesaan orang ramai yang menggunakan jalan tersebut,” katanya ketika ditemui di Kampung Dulang Besar, semalam.

Menurutnya, masalah jalan ini sudah berlaku agak lama iaitu sejak empat tahun lalu.

“Kali terakhir ianya diturap ialah pada 12 tahun lalu dan ia kembali bermasalah sejak empat tahun kebelakangan ini,” katanya.

Beliau yang juga penduduk kampung berkenaan berkata laluan tersebut kerap berlaku kemalangan terutama pada waktu malam.

“Tambahan pula, kawasan tersebut tidak mempunyai lampu jalan dan ia menjadi penyumbang kepada berlakunya kemalangan,” jelasnya.

Penduduk, Mong Peng Hwa, 65, berkata punca utama jalan ini rosak ialah terlalu ramai pengguna dan juga jentera berat seperti mesin padi dan lori turut menggunakan jalan ini.

“Laluan ini juga turut digunakan oleh penduduk dari Kampung berdekatan iaitu Kampung Setar, Titi Serong, Batu 22, Batu 23, Padang Makau dan Kampung Tengah,” katanya.

Penduduk, Mohd Riduan Helmi, 13, berkata setiap hari dia menggunakan jalan tersebut sebagai laluan dia dan adiknya ke sekolah.

“Kami ke sekolah dengan menunggang motosikal. Setiap kali melalui jalan tersebut kami perlu berhati-hati kerana banyak batu dan sekiranya laju motosikal kami boleh terjatuh.

“Jika hari hujan, kami perlu memakai kasut biasa terlebih dahulu dan membawa kasut sekolah di dalam beg,” katanya.

Kataya, jika hujan, jalan tersebut akan dipenuhi air dan mengotorkan kasut sekolah mereka. – sh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *